MOSCOW: Russia semalam mengarahkan tenteranya berundur dari bandar Kherson di selatan Ukraine, satu tindakan yang memberi tamparan hebat terhadap kempennya ketika serangan balas Ukraine.
"Mula keluarkan tentera," kata Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu pada pertemuan dengan komander Russia di Ukraine, Sergei Surovikin yang disiarkan di televisyen.
Komander mengusulkan 'keputusan sukar' untuk berundur dari bandar dan menubuhkan pertahanan di tebing timur Sungai Dnipro.
Bandar Kherson adalah hab bandar pertama yang ditawan oleh Russia ketika 'operasi ketenteraan khas' dan satu-satunya ibu kota wilayah yang dikawal oleh tentera Moscow sejak serangan bermula pada 24 Februari lalu.
Tentera Ukraine berminggu-minggu menawan perkampungan ketika dalam perjalanan ke bandar berhampiran Laut Hitam dan pemimpin yang ditugaskan Kremlin di Kherson menarik keluar orang awam.
"Mereka hanya mencari jalan keluar daripada situasi yang sukar," kata jurucakap komando tentera selatan Ukraine, Natalia Gumeniuk kepada AFP.
Namun katanya, mereka sebenarnya sengaja mengumumkan untuk berpindah ke tebing kiri supaya tidak mengejutkan sesiapa pun.
"Tetapi kami faham kami tetap perlu berjuang," katanya yang yakin perjuangan untuk Kherson belum lagi berakhir.
Bagaimanapun, Penasihat Presiden Ukraine, Mykhaylo Podolyak, berkata sejumlah tentera Russia kekal di bandar itu.
"Kami tidak melihat apa-apa isyarat Russia akan meninggalkan Kherson tanpa pertarungan," katanya di Twitter.
Ketua Kumpulan Media negara Russia RT, Margarita Simonyan, berkata pengunduran itu perlu untuk tidak membiarkan tentera Russia terdedah di tebing barat Sungai Dnipro dan 'membuka jalan ke Crimea'.
Penyokong kuat Chechnya, Ramzan Kadyrov, berkata keputusan itu 'sukar tetapi adil'.
Sementara itu, sekutu Putin, Yevgeny Prigozhin yang juga pengasas kumpulan upahan Wagner, mengkritik strategi ketenteraan Russia dalam kempen itu berikutan ia nampak samar-samar.
Dengan kehilangan wilayah Kherson oleh Russia, ia akan mengembalikan akses penting Ukraine ke Laut Azov dan meninggalkan ke belakang sedikit Presiden Vladimir Putin di mata Barat, yang mana pengunduran tentera itu akan memberi tekanan kepada kawalan Russia ke atas seluruh wilayah Kherson, yang membentuk jambatan darat dari Russia ke Crimea, semenanjung yang dirampas Moscow pada 2014.
Dengan serangan Russia kini memasuki bulan kesembilan, kuasa Barat meningkatkan sokongan ketenteraan dan kewangan untuk Kyiv.
Dalam pengumuman terbaru semalam, Suruhanjaya Eropah mencadangkan pakej bantuan 18 bilion euro (RM84.46 bilion) untuk Ukraine pada 2023 dalam bentuk pinjaman.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky yang memuji bantuan itu sebagai 'perpaduan sejati' berkata hubungan antara Moscow dan Washington akan kekal 'buruk' selepas pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS).
"Hubungan sedia ada adalah buruk dan ia akan kekal buruk," jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Russia.
Presiden AS, Joe Biden, yang menjadi sekutu penting kepada Kyiv dan menyediakan senjata dan sokongan kewangan, boleh dikekang dalam sokongannya untuk Ukraine jika Republikan memenangi majoriti di Dewan Perwakilan Senat dan Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg menafikan itu akan menjejaskan sokongan tentera Barat untuk Ukraine.
Selepas perbincangan dengan Perdana Menteri United Kingdom, Rishi Sunak, Stoltenberg mengatakan, sangat jelas terdapat sokongan bipartisan yang kuat di AS untuk sokongan berterusan untuk Ukraine dan itu tidak berubah. - AFP