Rabu, 9 November 2022 | 11:46am
Kira-kira 129,000 orang Eropah mati akibat kepanasan yang melampau dalam tempoh antara 1980 dan 2020. - Foto REUTERS
Kira-kira 129,000 orang Eropah mati akibat kepanasan yang melampau dalam tempoh antara 1980 dan 2020. - Foto REUTERS

Gelombang haba di Eropah dijangka membunuh 90,000 orang setiap tahun

COPENHAGEN: Agensi Alam Sekitar Eropah (EEA) mengatakan jika tiada sebarang usaha dilakukan untuk menangani gelombang haba, ia mungkin akan mengakibatkan 90,000 penduduk benua itu terkorban setiap tahun menjelang akhir abad ini.

"Tanpa mengambil langkah bersesuaian serta di bawah senario pemanasan global tiga darjah Celsius menjelang 2100, 90,000 orang Eropah berisiko meninggal dunia disebabkan haba melampau setiap tahun.

"Namun jika pemanasan global dapat dikurangkan 1.5 darjah Celsius, 30,000 kematian dapat dikurangkan setiap tahun," kata agensi itu.

Justeru, banyak negara berikrar untuk mengekalkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius di atas paras pra-industri, iaitu matlamat yang dunia akan terlepas dengan trend pelepasan semasa pada ketika ini.

Kira-kira 129,000 penduduk Eropah meninggal dunia akibat haba melampau dalam tempoh antara 1980 hingga 2020, kata agensi itu, memetik data insurans.

Namun katanya, berikutan gelombang haba yang lebih kerap dikaitkan dengan perubahan iklim, populasi yang semakin tua dan peningkatan urbanisasi menjadikan angka itu berkemungkinan meningkat beberapa tahun akan datang, terutamanya di selatan benua itu.

Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya 15,000 orang meninggal dunia setakat tahun ini di Eropah kerana cuaca panas.

Tiga bulan iaitu dari Jun hingga Ogos direkodkan paling panas di Eropah sejak rekod itu bermula dengan suhu sangat tinggi yang membawa kepada kemarau terburuk, suatu rekod yang pernah disaksikan di benua itu sejak Zaman Pertengahan.

Di sebalik bahaya haba itu sendiri, EEA berkata, perubahan iklim juga boleh menyebabkan Eropah lebih terdedah kepada penyakit berjangkit seperti malaria dan demam denggi yang disebarkan melalui gigitan nyamuk.

Air laut yang semakin panas menjadi semakin sesuai untuk bakteria yang menyebabkan taun, khususnya di sepanjang garis pantai Laut Baltik.

Justeru, EEA menggesa kepada tindakan segera.

"Hampir semua kematian yang dikaitkan dengan suhu tinggi boleh dicegah dalam konteks Eropah.

"Mengurangkan kesan kesihatan haba memerlukan pelaksanaan pelbagai penyelesaian, termasuk pelan tindakan kesihatan haba yang berkesan, penghijauan bandar, reka bentuk dan pembinaan bangunan yang sesuai, serta melaraskan masa dan keadaan bekerja," katanya. - AFP

Berita Harian X