Selasa, 8 November 2022 | 12:05pm
Gambar yang diambil pada 7 November 2022, menunjukkan Ikan paus paruh yang cedera terdampar di pantai di Sangatte, utara Perancis. - Foto AFP
Gambar yang diambil pada 7 November 2022, menunjukkan Ikan paus paruh yang cedera terdampar di pantai di Sangatte, utara Perancis. - Foto AFP

Paus mati selepas terdampar di utara Perancis

SANGATTE, PERANCIS: Seekor ikan paus cetacea sepanjang 7.6 meter mati di pantai di utara Perancis semalam, beberapa jam selepas ditemui terdampar dan cedera.

Sebelum itu, pakar berharap air pasang akan tiba pada masanya untuk membantunya kembali ke laut, tetapi haiwan itu tidak dapat diselamatkan.

Ketua CMNF, sebuah persatuan untuk perlindungan mamalia liar di utara Perancis, Jacky Karpouzopoulos, berkata haiwan itu mungkin lemas semasa berusaha untuk kembali ke air.

"Cetacea betina, seberat 3.5 tan itu mungkin mati dalam usaha untuk kembali ke air.

"Saya tidak pernah melihat perkara seperti itu dalam tempoh 40 tahun saya bekerja," katanya.

Kemunculan paus paruh ke selatan juga jarang berlaku.

Sementara itu, pakar mamalia laut di Universiti Liege di Belgium, Thierry Jauniaux, berkata haiwan itu kebiasaannya berenang jauh di perairan Artik.

"Pakar menolak untuk mengangkat haiwan itu kembali ke dalam air, dengan harapan bahawa air pasang akan membolehkan haiwan itu terapung dan berenang pergi.

"Beberapa ikan paus dari spesies sama telah dihanyutkan baru-baru ini di pantai Belgium dan Belanda. Fenomena ini mungkin disebabkan oleh 'pencemaran, kemunculan penyakit baru atau peningkatan lalu lintas laut' yang membawa kepada perubahan dalam tingkah laku ikan paus," katanya.

Februari lalu, seekor ikan paus betina sepanjang 9.5 meter ditemui mati di pantai utara Perancis iaitu satu lagi peristiwa 'luar biasa'.

Pada musim bunga tahun ini, seekor paus orca dinamakan 'Sedna' oleh kumpulan perlindungan hidupan marin NGO Sea Shepherd dilihat sesat di sungai Seine, namun mati walaupun usaha gigih dilakukan untuk menyelamatkannya.

Musim panas ini, seekor ikan paus beluga yang uzur, yang tersesat ke dalam Seine telah diserahkan kepada doktor haiwan selepas percubaan menyelamat terakhir gagal kerana kesihatannya yang semakin merosot. - AFP

Berita Harian X