LONDON: Presiden Russia, Vladimir Putin menegaskan orang awam di wilayah Kherson, Ukraine harus dipindahkan dari zon konflik berikutan keadaan yang semakin merosot di wilayah yang didakwanya sudah diduduki.
"Sekarang mereka yang tinggal di Kherson harus dikeluarkan dari zon tindakan paling berbahaya, kerana penduduk awam tidak seharusnya menderita," kata Putin kepada aktivis pro-Kremlin ketika ucapannya pada Hari Perpaduan Nasional Russia.
Kenyataan Putin itu tiba secara mengejut selepas seorang aktivis memberitahu mengenai kerjanya menghantar bendera Russia kepada Kherson, yang telah ditayangkan di televisyen negara dan dilaporkan oleh agensi berita negara RIA.
Pegawai yang ditempatkan Russia di wilayah Kherson, satu daripada empat wilayah Ukraine yang diisytiharkan Putin sebagai sebahagian daripada Russia merayu agar orang awam meninggalkan wilayah barat itu kerana tentera Ukraine kembali menguasai kawasan itu beberapa minggu kebelakangan ini.
Semalam, Timbalan Gabenor Kherson yang dilantik oleh Russia, Kirill Stremousov mengeluarkan beberapa video rayuan untuk orang awam meninggalkan bahagian wilayah itu di tebing barat sungai Dnipro.
Wilayah Kherson, yang majoritinya dikuasai Russia selepas melancarkan kempen ketenteraannya di Ukraine pada 24 Februari, dilihat strategik, mengawal kedua-dua akses darat dan sebahagian besar bekalan air ke Crimea, yang diduduki Russia pada 2014.
Ia kekal sebagai satu-satunya ibu kota serantau yang telah ditawan Russia sejak Februari.
Ukraine kemudian mengumumkan serangan balas di Kherson pada Ogos lalu hingga mendorong tentera Russia dari sebahagian besar utara wilayah itu pada September.
Komander tentera Russia di Ukraine, Jeneral Sergei Surovikin sebelum ini merujuk Kheraon sebagai situasi sukar. - REUTERS