Jumaat, 4 November 2022 | 8:37am
Seorang lelaki lelaki sebuah kawah yang terbentuk di sebuah kilang selepas serangan tentera Russia di bandar Kharkiv, Ukraine. - AFP
Seorang lelaki lelaki sebuah kawah yang terbentuk di sebuah kilang selepas serangan tentera Russia di bandar Kharkiv, Ukraine. - AFP

Russia 'berundur' di selatan Ukraine, Kyiv bimbang ia hanya helah tentera

KYIV: Seorang pegawai Russia memaklumkan Moscow mungkin mengundurkan tenteranya dari tebing barat Sungai Dnipro dekat Kherson, namun pada masa sama menggesa orang awam meninggalkan tempat itu.

Walaupun pengunduran pasukan itu dilihat sebagai tamparan kepada Russia, Ukraine khuatir ia hanya helah ketenteraan bagi memerangkap mereka, malah pegawai kanan di Moscow masih mengunci mulut mengenai perkara itu.

Ia sekali gus membuatkan pentadbiran Kyiv dan penganalisis tentera Barat mengambil pendekatan berhati-hati.

"Besar kemungkinan unit tentera kami akan bertolak ke tebing barat (timur)," kata Timbalan Pentadbir Awam yang ditempatkan Russia di wilayah Kherson, Kirill Stremousov, dalam temu bual bersama media dalam talian pro-Kremlin, Solovyov Live, semalam.

Kawasan terbabit merangkumi bandar Kherson, sebuah ibu kota wilayah yang juga satu-satunya bandar utama ditawan Russia sejak pencerobohannya Februari lalu.

Ia juga termasuk satu bahagian empangan di seberang Dnipro yang mengawal bekalan air untuk Crimea, semenanjung yang diduduki Russia sejak 2014.

Terdahulu, Russia menafikan tenteranya merancang untuk berundur daripada kawasan terbabit.

Rekrut baharu tentera Russia bersiap sedia di pusat pengambilan tentera serantau, Rostov-on-Don, Russia. - Foto AP
Rekrut baharu tentera Russia bersiap sedia di pusat pengambilan tentera serantau, Rostov-on-Don, Russia. - Foto AP

Dalam ulasan panjang ketika program anjuran Televisyen RT, malam tadi, Stremousov kelihatan teragak-agak, mengatakan pihaknya perlu mengambil beberapa keputusan yang sangat sukar pada masa sekarang, walaupun sudah melakukan pelbagai strategi.

Malah, katanya, sesetengah orang mungkin takut untuk mengiktiraf kedudukan seumpamanya.

"Tetapi bagi saya, adalah sangat penting untuk mengatakan pada masa ini, orang ramai dinasihatkan bergerak ke tebing timur. Anda akan berada dalam kedudukan yang jauh lebih selamat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Stremousov berharap tenteranya tidak meninggalkan Kherson dan jika itu berlaku, 'ia akan menjadi tamparan hebat bukan saja dari segi imej, tetapi kepada sesiapa saja yang terus kekal di sana.

Spekulasi mengenai Russia benar-benar berundur timbul selepas gambar tersebar di internet menunjukkan bendera Russia tidak lagi berkibar di atas bangunan pentadbiran utama di bandar Kherson.

Bagaimanapun di pihak Ukraine, rakaman gambar itu mungkin maklumat palsu Russia sebagai strategi ketenteraan, kata jurucakap badan pemerintah tentera selatan Ukraine, Natalia Humeniuk.

Sebuah rumah yang musnah di bandar Kupiansk, Kharkiv, Ukraine, selepas terkena serangan peluru berpandu Russia. - Foto AFP
Sebuah rumah yang musnah di bandar Kupiansk, Kharkiv, Ukraine, selepas terkena serangan peluru berpandu Russia. - Foto AFP

Sejak 24 jam lalu, tentera Russia melancarkan tiga peluru berpandu dan 16 serangan udara ke atas sasaran Ukraine serta lebih 40 siri tembakan, kata tentera Ukraine dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut kenyataan sama, di bahagian hadapan selatan, Russia meletupkan lebih 35 bandar, selain terdapat lebih daripada 30 misi peninjauan oleh dron.

Pesawat Ukraine melakukan 12 serangan ke atas lapan kawasan yang diduduki Russia, di mana terletak anggota dan peralatan empat unit anti-pesawat.

Sementara itu, Kementerian Luar Ukraine dalam kenyataannya malam tadi, berkata artileri Ukraine turut menyerang tiga kawasan menempatkan anggota dan peralatan serta dua depot peluru.

Mereka juga mendakwa pihak berkuasa Russia 'memaksa pergerakan penduduk secara besar-besaran' di wilayah Kherson dan Zaporzhzhia di selatan serta wilayah Luhansk dan Donetsk di timur berhijrah ke wilayah Crimea yang diduduki sementara atau ke Persekutuan Russia.

Sehingga semalam, kira-kira 4.5 juta rakyat Ukraine di ibu negara Kyiv dan 10 wilayah lain terputus bekalan elektrik buat sementara waktu, gangguan terbaru disebabkan oleh serangan Russia, kata Presiden Volodymyr Zelenskiy dalam ucapan video. - REUTERS

Berita Harian X