Isnin, 31 Oktober 2022 | 10:06am
Kapal kargo Navi-Star yang sarat dengan muatan bijirin menunggu untuk meninggalkan pelabuhan Odesa di Ukraine. - Foto AP
Kapal kargo Navi-Star yang sarat dengan muatan bijirin menunggu untuk meninggalkan pelabuhan Odesa di Ukraine. - Foto AP

Turkiye, Ukraine teruskan perjanjian bijirin Laut Hitam

KYIV: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Turkiye dan Ukraine meneruskan pelaksanaan perjanjian bijirin Laut Hitam dengan pelan transit disediakan untuk 16 kapal hari ini.

kerjasama itu diteruskan meskipun Russia menggantung penyertaannya dalam pakatan yang sebelum ini membenarkan eksport produk pertanian Ukraine ke pasaran dunia.

Russia, yang menyerang Ukraine sejak 24 Februari lalu, menghentikan peranannya dalam perjanjian Laut Hitam kelmarin untuk 'tempoh yang tidak ditentukan'.

Moscow mendakwa mengambil keputusan itu kerana tidak dapat 'menjamin keselamatan kapal awam' yang melakukan perjalanan di bawah pakatan itu selepas serangan ke atas armadanya di Laut Hitam.

Namun, dua penyelaras utama kerjasama itu, PBB dan Turkiye, terus berusaha untuk menyelamatkan kesepakatan yang dicapai pada perjanjian Julai lalu.

Menurut jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres amat bimbang mengenai tindakan Russia dan menangguhkan perjalanan kapal asing sementara cuba menghidupkan semula perjanjian bertujuan meredakan krisis makanan global.

Kakitangan berpakaian perlindungan diri (PPE) menunggang basikal elektrik di Pusat Perniagaan Utama (CBD) Coyang, Beijing di China, susulan pengisytiharan perintah berkurung akibat peningkatan kes COVID-19. - Foto REUTERS
Kakitangan berpakaian perlindungan diri (PPE) menunggang basikal elektrik di Pusat Perniagaan Utama (CBD) Coyang, Beijing di China, susulan pengisytiharan perintah berkurung akibat peningkatan kes COVID-19. - Foto REUTERS

Susulan langkah Russia, penganalisis berpendapat, harga gandum di pasaran komoditi antarabangsa dijangka melonjak hari ini berikutan kedua-dua negara, Russia dan Ukraine adalah antara pengeksport gandum terbesar dunia.

Sejak Julai lalu, kira-kira 9.5 juta tan jagung, gandum, produk bunga matahari, barli, biji sawi dan soya dieksport susulan persefahaman yang dicapai.

Di bawah persetujuan itu, Pusat Koordinasi Bersama (JCC) yang terdiri daripada pegawai PBB, Turkiye, Russia dan Ukraine bersetuju perkara berkaitan transit dan pemeriksaan kapal.

Susulan perkembangan terbaru membabitkan keputusan Russia, tiada kapal bergerak melalui koridor kemanusiaan maritim sejak semalam.

Bagaimanapun, PBB dalam kenyataannya berkata, pihaknya sudah bersetuju dengan Ukraine dan Turkiye mengenai pelan pergerakan untuk 16 kapal pada hari ini dengan 12 keluar dan empat lagi kapal memasuki pelabuhan di Laut Hitam.

Katanya, pegawai Russia di JCC sudah dimaklumkan mengenai rancangan itu, bersama-sama dengan hasrat untuk memeriksa 40 kapal yang keluar pada hari ini.

Difahamkan, semua peserta menyelaras dengan pihak tentera masing-masing dan pihak berkuasa lain yang berkaitan untuk memastikan laluan selamat bagi kapal komersial di bawah perjanjian itu.

Bijirin dari Ukraine dikeluarkan dari ruang kargo kapal di pelabuhan Ravenna, Itali. - Foto REUTERS
Bijirin dari Ukraine dikeluarkan dari ruang kargo kapal di pelabuhan Ravenna, Itali. - Foto REUTERS

Menteri Pertahanan Turkiye, Hulusi Akar, berkata pihaknya sudah berhubung dengan rakan sejawat Russia dan Ukraine untuk berusaha menyelamatkan perjanjian itu dan meminta pihak berkenaan mengelakkan sebarang provokasi.

Perjanjian bijirin itu memulakan semula penghantaran dari Ukraine, yang membolehkan jualan di pasaran dunia, menyasarkan ke tahap sebelum perang sebanyak lima juta tan metrik dieksport dari Ukraine setiap bulan.

Bagaimanapun sebelum tempoh perjanjian tamat pada 19 November depan, Russia mengatakan terdapat masalah serius antaranya dan Ukraine, mengadu Moscow sudah menyekat hampir 200 kapal daripada mengambil kargo bijirin.

Perjanjian itu memastikan laluan selamat masuk dan keluar dari Odesa dan dua pelabuhan Ukraine yang lain.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, mendakwa Russia mahu meningkatkan krisis, dengan mengatakan 218 kapal disekat dan menunggu sama ada untuk membawa makanan atau memasuki pelabuhan Ukraine.

Katanya, 40,000 tan gandum dimuatkan ke sebuah kapal di pelabuhan Chornomorsk, disewa oleh Program Makanan PBB dan bertujuan untuk Ethiopia yang didakwanya 'di ambang kebuluran' seperti mana Yaman dan Somalia, yang turut menghadapi 'malapetaka' kekurangan makanan. - REUTERS

Berita Harian X