Selasa, 25 Oktober 2022 | 1:02pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Russia mahu bangkitkan tuduhan serangan bom Ukraine di PBB

NEW YORK: Russia dijangka membangkitkan mengenai tuduhan bahawa Ukraine merancang melakukan serangan 'dirty bomb' iaitu bahan peledak dengan menggunakan campuran material konvensional dan material radioaktif di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada masa sama, Russia menggesa Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres supaya melakukan segala yang termampu untuk menghalang jenayah itu.

Duta Besar Russia di PBB, Vassily Nebenzia, menyatakan hasrat itu melalui surat kepada Majlis Keselamatan dan Guterres, semalam.

"Kita akan menganggap penggunaan 'dirty bomb' oleh rejim Kiev sebagai tindakan keganasan nuklear.

"Kita menggesa negara Barat untuk menggunakan pengaruh mereka ke atas rejim di Kiev supaya membatalkan rancangan berbahaya yang mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa.

"Kita juga menggesa Setiausaha Agung PBB untuk melakukan segala-galanya bagi mencegah jenayah kejam ini daripada berlaku," katanya melalui surat yang dilihat oleh Reuters.

Sementara itu, menurut diplomat, Russia sudah memaklumkan kepada rakan sejawat mereka di majlis keselamatan bahawa isu terbabit akan dibawa dalam mesyuarat secara tertutup, hari ini.

Beberapa hari lalu, pemimpin atasan Russia turut menghubungi rakan sejawat mereka di Barat untuk memaklumkan Moscow mengesyaki rancangan Ukraine untuk menggunakan bom dengan campuran bahan nuklear.

Sehingga kini, tentera Ukraine sedang mara ke wilayah Kherson yang diduduki Russia.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, bagaimanapun bertindak balas dengan menuduh semula Russia merancang sendiri serangan itu bagi menyalahkan negara terbabit.

Beberapa negara Barat juga menolak dakwaan Russia sebagai helah untuk menambah tekanan terhadap perang 'berusia' lapan bulan itu, yang bermula pada Februari lalu.

Sementara itu, muatnaik misi Britain ke PBB di Twitter semalam, menjelaskan 'Peringatan: Ukraine tidak mempunyai senjata nuklear'.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata semua pihak harus mengelakkan sebarang tindakan yang boleh membawa kepada pertimbangan yang salah dan kesan lebih buruk terhadap konflik yang dahsyat ini.

Majlis Keselamatan PBB mengadakan puluhan pertemuan membabitkan Ukraine namun tidak berupaya mengambil sebarang tindakan yang berkesan berikutan Russia mempunyai kuasa veto seperti Amerika Syarikat (AS), China, Britain dan Perancis.

Russia kini diasingkan secara diplomatik di badan dunia itu, malah awal bulan ini, tiga perempat daripada 193 anggota Perhimpunan Agung mengundi untuk mengutuk cubaan penaklukan haram Russia ke atas empat wilayah yang diduduki sebahagiannya di Ukraine. - REUTERS

Berita Harian X