Ahad, 4 September 2022 | 10:35am
Vaksin Pfizer yang dihasilkan di kilangnya di Kalamazoo Kalamazoo, Michigan, Amerika Syarikat, yang ditambah baik bagi menangani pelbagai strain varian baharu Omicron. - Foto AP
Vaksin Pfizer yang dihasilkan di kilangnya di Kalamazoo Kalamazoo, Michigan, Amerika Syarikat, yang ditambah baik bagi menangani pelbagai strain varian baharu Omicron. - Foto AP

Varian baharu COVID-19 mungkin muncul musim sejuk ini - EMA

THE HAGUE: Agensi Perubatan Kesatuan Eropah (EMA) mengumumkan varian baharu COVID-19 mungkin akan muncul semasa musim sejuk ini.

Namun, agensi itu memberi jaminan vaksin sedia ada dapat melindungi orang ramai daripada dijangkiti penyakit kritikal dan mengurangkan risiko kematian.

Ketua Vaksin EMA, Marco Cavaleri, berkata orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kemunculan varian baharu itu kerana ia tidak memerlukan vaksin yang khusus bagi menanganinya.

"Vaksin asal masih berupaya melindungi orang ramai daripada dijangkiti penyakit berbahaya akibat coronavirus ini dan risiko kematian.

"Varian baharu pada musim sejuk ini mungkin akan lebih mirip kepada strain Omicron terdahulu, yang kini sebahagian besarnya dapat dibendung menggunakan vaksin bagi varian BA.4 dan 5," katanya.

Beliau berkata demikian selepas 27 negara Kesatuan Eropah (EU) sedang mempersiapkan kempen dos penggalak ekoran kebimbangan kemunculan gelombang coronavirus baharu hujung tahun ini.

Katanya, vaksin itu adalah gabungan suntikan baharu yang diluluskan dari strain dominan Omicron dan vaksin asal bagi melawan virus yang muncul di China sejak 2019.

Khamis lalu, EMA meluluskan vaksin Pfizer/BioNTech dan Moderna bagi menangani subvarian BA.1 Omicron.

Versi Pfizer yang dikemas kini untuk strain BA.4 dan 5 akan diluluskan pertengahan September ini manakala vaksin seumpamanya keluaran Moderna juga kini dalam pembuatan.

Bagaimanapun, kata Cavaleri, vaksin baharu bagi varian Omicron itu sebahagian besarnya dikhususkan untuk warga emas, mereka yang berisiko, wanita mengandung dan kakitangan barisan hadapan sektor perubatan.

"Sebahagian besar akan terus diberi vaksin asal yang dibangunkan bagi melawan varian asal COVID-19 yang dikesan di Wuhan, China," katanya. - AFP

Berita Harian X