Isnin, 19 September 2022 | 6:55pm

Warga Switzerland dihukum penjara selepas kelar wanita atas nama Daesh

BELLINZONA: Seorang wanita Switzerland, hari ini dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun selepas mengelar dua individu atas nama kumpulan Daesh, namun hukumannya digantung bagi membolehkan dia menjalani rawatan psikiatri.

Hakim Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland mendapati wanita itu, yang tidak boleh dinamakan atas sebab perundangan, bersalah atas dua pertuduhan cubaan membunuh. Dia juga didapati bersalah atas tuduhan berkaitan keganasan.

Presiden mahkamah, Fiorenza Bergomini, ketika membacakan keputusan itu, berkata tertuduh tidak menghormati nyawa manusia.

"Dia bertindak tanpa belas kasihan, merancang tindakannya dan memutuskan senjata apa yang hendak digunakan dan di mana untuk membelinya," kata Bergomini.

Keadaan mental wanita berusia 29 tahun itu menjadi tumpuan perbicaraan di Bellinzona, di wilayah Ticino yang menggunakan bahasa Itali, di mana serangan itu berlaku.

Serangan yang tidak mengorbankan nyawa itu, berlaku di gedung mewah Manor di Lugano, selatan Switzerland, pada 24 November 2020,

Tertuduh tiba-tiba menerkam dua wanita secara rawak, yang sedang membeli-belah di gedung itu dan cuba mengelar leher mereka.

Menurut pertuduhan dari Pejabat Peguam Negara, tertuduh bertindak dengan sengaja dan dengan kekejaman tertentu, menjerit "Allahuakhbar (Tuhan Maha Besar)" dan "Saya akan membalas dendam Nabi Muhammad", dan mengisytiharkan dirinya berada di situ untuk Daesh.

Seorang daripada mangsa mengalami kecederaan di leher, manakala mangsa kedua cedera di sebelah tangan dan berjaya mengawal penyerang bersama yang lain, sehingga polis tiba.

Penyerang itu, hari ini didapati bersalah atas percubaan pembunuhan berulang dan melanggar undang-undang Switzerland yang menentang sebarang hubungan dengan kumpulan Al-Qaeda dan Daesh.

Dia juga berdepan pertuduhan pelacuran haram berulang antara 2017 dan 2020. Anak kepada lelaki warga Switzerland dan wanita Serbia itu menghidap anoreksia ketika dewasa dan dia tidak bersekolah menengah.

Dia berkahwin dengan lelaki berasal Afghanistan pada usia 19 tahun dan memeluk Islam. Pasangan itu bercerai tahun lalu.

Selepas jatuh cinta melalui media sosial pada 2017 dengan seorang pejuang jihad di Syria, dia dikatakan cuba ke sana untuk menemui lelaki itu.

Polis berkata, wanita itu bagaimanapun dihalang pihak berkuasa Turki di sempadan Syria dan dihantar pulang ke Switzerland, di mana dia dimasukkan ke klinik psikiatri. - AFP

Berita Harian X