Sabtu, 17 September 2022 | 7:18am
Penduduk membersihkan lumpur di jalan di wilayah tengah Itali, Senigallia. - Foto AP
Penduduk membersihkan lumpur di jalan di wilayah tengah Itali, Senigallia. - Foto AP

10 maut, tiga hilang banjir di Itali

CANTIANO, ITALI: Sekurang-kurangnya 10 maut akibat hujan lebat semalaman dan banjir di wilayah tengah Itali, Marche, kata pihak berkuasa pada Jumaat, ketika penyelamat meneruskan operasi mencari dan menyelamat tiga yang masih hilang.

Di Cantiano, sebuah perkampungan berdekatan dengan wilayah Umbria, penduduk giat membersihkan lumpur di jalan selepas air deras melanda beberapa bandar meninggalkan kereta yang terperangkap dan rosak.

"Kedai buah saya musnah," Luciana Agostinelli, seorang penduduk memberitahu Reuters.

Sekitar 400 milimeter hujan dalam masa dua hingga tiga jam, kata agensi perlindungan awam, satu pertiga daripada jumlah yang biasanya diterima dalam setahun.

"Ia seperti gempa bumi," kata Datuk Bandar Serra Sant'Abbondio, Ludovico Cavern, memberitahu radio kerajaan, RAI.

Ketua agensi perlindungan awam kebangsaan, Fabrizio Curcio, bertemu pihak berkuasa tempatan di ibu kota Marche, Ancona untuk menilai kerosakan, manakala ketua parti yang berkempen untuk pemilihan Itali pada 25 September menyatakan solidariti mereka.

Rakaman yang dikeluarkan oleh pasukan bomba menunjukkan penyelamat di atas rakit cuba memindahkan orang ramai di bandar tepi laut Senigallia, manakala yang lain cuba membersihkan laluan bawah daripada serpihan.

Pakar di Persatuan Geologi Alam Sekitar Itali (SIGEA), Paola Pino d'Astore, memberitahu banjir itu disebabkan oleh perubahan iklim dan tidak mudah untuk diramalkan.

"Ia adalah fenomena yang tidak dapat dipulihkan, menggambarkan keadaan masa depan kita," katanya.

Kira-kira 300 anggota bomba kini beroperasi di kawasan itu dan telah menyelamatkan puluhan mangsa yang memanjat bumbung dan pokok untuk menyelamatkan diri daripada banjir, kata bomba.

Ketua Perlindungan Awam kerajaan Wilayah Marche, Stefano Aguzzi, berkata hujan lebat jauh lebih kuat daripada yang diramalkan.

"Kami diberi amaran biasa untuk hujan, tetapi tiada siapa menjangkakan perkara seperti ini," katanya kepada pemberita.

Pemimpin Parti Demokrat berhaluan tengah, Enrico Letta, berkata beliau akan menangguhkan kempen sebagai tanda berkabung dan membenarkan aktivis tempatannya mengambil bahagian dalam usaha membantu komuniti yang dilanda banjir. - REUTERS

Berita Harian X