Rabu, 10 Ogos 2022 | 7:53am
Kanak-kanak menikmati sumbangan bantuan makanan dekat pintu besi dimana tertera amaran mengenai jerangkap samar, di bandar Irpin, dekat Kyiv, Ukraine. - Foto EPA
Kanak-kanak menikmati sumbangan bantuan makanan dekat pintu besi dimana tertera amaran mengenai jerangkap samar, di bandar Irpin, dekat Kyiv, Ukraine. - Foto EPA

AS lulus AS$89 bilion bantu Ukraine bersih bom, ordnans tentera

WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) meluluskan AS$89 bilion (RM396.5 bilion) untuk membantu Ukraine melengkapkan dan melatih 100 pasukan membersihkan periuk api serta ordnans tentera yang gagal meletup selama setahun.

Menurut seorang pegawai AS semalam, ia adalah peruntukan terbesar AS setakat ini bagi program pembersihan bahan letupan yang masih aktif di Ukraine.

Pegawai terbabit turut membandingkan cabaran di Ukraine dengan percubaan untuk melucutkan ordnans tentera yang gagal meletup di Vietnam, Kemboja dan Laos sewaktu perang AS pada 1960an dan 70an di Asia Tenggara.

"Jika anda lihat beberapa konflik pada masa lalu, Perang Vietnam misalnya... kami masih membersihkan kelengkapan tentera di Asia Tenggara selama 50 tahun selepas perang itu tamat.

"Ini mungkin setanding dengan itu," kata pegawai terbabit.

Program berkenaan akan dilaksanakan melalui kontraktor dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jelas pegawai berkenaan, sebahagian daripada wang itu diperuntukkan daripada permohonan belanjawan berkaitan Ukraine.

Ia bukan saja akan membiayai aspek latihan, malah merangkumi aktiviti pengesanan khas ordnans tentera yang gagal meletup dan peralatan bagi mengesan serta mengalihkan tanah di mana bahan letupan dikesan, jika diperlukan.

Sementara itu, seorang pegawai Ukraine, Andriy Yermak, berkata bantuan itu adalah sokongan besar dalam menjalankan salah satu tugas terpenting negara itu.

"Mengikut anggaran kami, seluas 160,000 kilometer persegi tanah Ukraine perlu dibersihkan daripada ordnans tentera yang gagal meletup.

"Ini bersamaan dengan Virginia, Maryland dan Connecticut digabungkan," katanya yang juga pembantu utama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy.

Seorang ketua kakitangan Zelenskiy, menerusi mesej di Telegram, berkata bantuan itu akan mempercepatkan pemulihan Ukraine.

Menurut laporan Jabatan Negara, AS adalah penyokong kewangan utama pemusnahan senjata konvensional.

Negara itu menyalurkan lebih AS$4.2 bilion (RM18.7 bilion) bantuan kepada lebih 100 negara sejak 1993 hingga 2021 dan pada masa sama, ia juga adalah negara pengeksport senjata terbesar dunia. - REUTERS

Berita Harian X