Sabtu, 30 Julai 2022 | 6:22pm
Orang ramai membaca papan elektronik di stesen Waterloo, semasa mogok kereta api di London, pada 27 Julai 2022. - Foto REUTERS
Orang ramai membaca papan elektronik di stesen Waterloo, semasa mogok kereta api di London, pada 27 Julai 2022. - Foto REUTERS

Kereta api Britain alami gangguan susulan mogok

LONDON: Kira-kira 5,000 pemandu yang juga hampir satu perempat rangkaian kereta api Britain melancarkan mogok hari ini, sebagai sebahagian daripada kempen mendapatkan gaji lebih tinggi selepas kadar inflasi negara itu mencecah paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun.

Mogok 24 jam anjuran kesatuan pemandu kereta api ASLEF adalah tindakan industri kedua penting minggu ini ke atas rangkaian kereta api Britain, selepas 40,000 anggota kesatuan RMT dan TSSA, mewakili kakitangan rel lain mengadakan mogok besar, Rabu lalu.

Lonjakan inflasi pada kadar harga pengguna ketika ini ialah 9.4 peratus dan kenaikan gaji tidak menentu, memburukkan lagi ketegangan buruh merentasi sektor termasuk perkhidmatan pos, kesihatan, sekolah, lapangan terbang dan badan kehakiman.

Network Rail, yang mengendalikan infrastruktur kereta api Britain menjangkakan mogok itu menyebabkan 'gangguan ketara' sepanjang hari ini dan pagi esok.

Hampir semua perkhidmatan di tujuh daripada 34 pengendali kereta api negara itu dibatalkan, termasuk rangkaian serantau untuk tenggara dan timur England serta laluan jarak jauh menghubungkan London dengan barat daya dan timur laut England serta Edinburgh.

Perkhidmatan kereta api Britain kebanyakannya dibuat atas dasar keuntungan syarikat kereta api milik negara asing yang menerima kontrak jangka pendek dan subsidi operasi daripada kerajaan.

Subsidi itu melonjak semasa pandemik COVID-19.

Bercakap kepada radio BBC, Setiausaha Agung ASLEF, Mick Whelan, berkata perjanjian francais biasanya hanya menyediakan dua peratus kenaikan gaji bagi pemandu, selain percaya situasi Catch-22 itu tidak boleh diteruskan ketika krisis kos sara hidup.

Pengarah Urusan Pengendali First Rail dan Pengerusi Kumpulan Penghantaran Rel seluruh industri, Steve Montgomery, berkata pengendali akan memberi kenaikan gaji lebih besar jika pemandu kereta api bersetuju dengan perubahan dalam amalan kerja yang akan menjimatkan wang.

"Kami tidak meminta orang ramai 'bekerja lebih lama', tetapi untuk menjadi lebih produktif dalam masa yang mereka ada sekarang," katanya.

ASLEF bercadang mengadakan satu lagi mogok, pada 13 Ogos ini. - REUTERS

Berita Harian X