LONDON: Saintis memberitahu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tempoh menghalang penyebaran cacar monyet sudah berakhir dan kes jangkitan dijangka meningkat dua kali ganda setiap dua minggu sehingga mencapai kemuncak dalam beberapa bulan akan datang.
WHO Eropah meramalkan lebih 27,000 kes cacar monyet di 88 negara menjelang 2 Ogos, meningkat daripada 17,800 kes di hampir 70 negara berdasarkan kiraan terkini.
Membuat ramalan mengenai jangkitan itu adalah rumit, namun saintis di seluruh dunia percaya kemungkinan penularan berterusan selama beberapa bulan, malah mungkin lebih lama.
Prof Epidemiologi di Universiti California, Los Angeles, di Amerika Syarikat (AS), Anne Rimoin, berkata dunia perlu bersedia menghadapi ancaman itu .
"Sudah jelas peluang untuk berbuat demikian (menghalang jangkitan) sudah ditutup," katanya yang juga ahli jawatankuasa pakar WHO mengenai cacar monyet.
Jawatankuasa itu mengadakan pertemuan minggu lalu bagi menentukan sama ada wabak itu sudah boleh ditakrifkan sebagai kecemasan kesihatan global.
Majoriti ahli jawatankuasa mengundi menentang langkah itu, namun Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengisytiharkan darurat kecemasan wabak itu, satu tindakan yang tidak pernah dibuat pertubuhan itu membabitkan cacar monyet.
Pengarah Institut Kesihatan Global di Universiti Geneva, Antoine Flahault, yang mempengerusikan kumpulan penasihat WHO Eropah, berkata kadar transmisi kini jelas tidak terkawal.
"Kesan pengisytiharan ini memerlukan tindakan segera, termasuk peningkatan vaksinasi, ujian, pengasingan bagi mereka yang dijangkiti dan pengesanan kontak rapat ," katanya.
Prof di London School of Hygiene and Tropical Medicine, Jimmy Whitworth, berkata beliau menjangkakan kes tidak akan meningkat sekurang-kurangnya dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang, atau sehingga mereka yang paling berisiko dijangkiti sudah divaksin.
Pertubuhan kesihatan seksual di UK baru-baru ini menganggarkan bahawa mungkin sekitar 125,000 orang akan dijangkiti wabak itu.
Cacar monyet menjadi masalah kesihatan awam yang diabaikan secara global di Afrika selama beberapa dekad, tetapi kes mula dilaporkan di luar benua itu, yang mana ia menjadi endemik pada Mei lalu.
Pada kebiasaannya, penyakit itu menyebabkan simptom ringan hingga sederhana, termasuk demam, keletihan dan lepuhan kulit yang menyakitkan tetapi akan hilang dalam beberapa minggu.
Setakat ini, lima orang dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan wabak ini, semuanya dicatatkan berlaku di Afrika.
Di luar benua Afrika, cacar monyet merebak terutamanya pada lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki lain, menyebabkan klinik kesihatan seksual kini berjaga-jaga untuk peningkatan kes baharu.
Ketika ini cacar monyet tidak menyebabkan banyak kematian di seluruh dunia, namun kewujudan virus yang tidak menyenangkan itu dalam kalangan penduduk masih menjadi berita buruk, kata saintis.
Penularan berterusan juga boleh menyebabkan mutasi yang menjadikan virus lebih cepat merebak menjangkiti manusia, kata saintis.
Kelmarin, saintis Jerman mengeluarkan hasil kajian yang menemui mutasi dalam salah satu daripada 47 kes yang dilakukan jujukan, mendapati cacar monyet boleh menjangkiti orang lain dengan lebih mudah. - REUTERS