Sabtu, 9 Julai 2022 | 12:12pm
Ibu pejabat Rogers Communications Inc di Toronto, Ontario, di mana gangguan internet, rangkaian mudah alih dan khidmat dalam talian hampir melumpuhkan seluruh Kanada. - Foto REUTERS
Ibu pejabat Rogers Communications Inc di Toronto, Ontario, di mana gangguan internet, rangkaian mudah alih dan khidmat dalam talian hampir melumpuhkan seluruh Kanada. - Foto REUTERS

Polis Kanada, bank, pengguna berdepan gangguan rangkaian utama

OTTAWA: Gangguan besar yang menjejaskan rangkaian mudah alih dan internet penyedia telekomunikasi terkemuka Rogers Communications (Rogers) menyebabkan gangguan meluas di seluruh Kanada semalam.

Akibatnya, urusan perbankan, membuat panggilan, pembayaran tanpa tunai dan perniagaan serta khidmat kepolisan lumpuh di seluruh negara itu.

Rogers dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang mengalami gangguan rangkaian dan rangkaian tanpa wayar di mana pasukan teknikal bekerja keras untuk memulihkan perkhidmatan secepat mungkin.

Menurut data kumpulan pemantau Internet, NetBlocks, 25 peratus daripada sambungan internet Kanada terputus.

Rogers ialah pengendali rangkaian mudah alih utama Kanada, dengan lebih 11 juta pelanggan tanpa wayar dan hampir tiga juta pengguna internet, secara menyeluruh menguasai hampir 90 peratus pasaran tanpa wayar bersama Bell Inc. dan Telus Corp.

Sementara itu, gangguan rangkaian berkenaan tidak dapat dipastikan sama ada disebabkan oleh kerosakan peralatan telekomunikasi atau serangan siber.

Jurucakap Penubuhan Keselamatan Komunikasi, Evan Koronewski, iaitu sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk keselamatan siber dan risikan isyarat, memberitahu AFP ia sudah menawarkan bantuan kepada syarikat itu.

Menteri Perindustrian, Francois-Philippe Champagne, pula berkata pejabatnya juga sudah menghubungi Rogers dan akan terus memantau keadaan dengan teliti serta berusaha sedaya upaya untuk memastikan gangguan dipulihkan.

Polis di beberapa bandar termasuk ibu negara Ottawa dan Toronto memberi amaran bahawa orang ramai tidak dapat menghubungi 911 untuk kecemasan berikutan gangguan itu manakala Majlis Perbandaran Montreal berkata talian perkhidmatan perbandaran terputus.

Di seluruh negara, pelanggan Rogers mengadu kerana tidak dapat membuat panggilan atau menggunakan internet.

Agensi Perkhidmatan Sempadan Kanada pula, melalui ciapan Twitter, berkata pengembara yang tiba perlu menggunakan borang kertas untuk memberikan maklumat perjalanan dan kesihatan awam wajib, kerana aplikasi mudah alih terjejas akibat gangguan itu. - AFP

Berita Harian X