Jumaat, 1 Julai 2022 | 2:08pm
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto REUTERS
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto REUTERS

Cacar monyet: WHO minta kumpulan berisiko berwaspada

LONDON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran penyebaran berterusan cacar monyet di seluruh dunia boleh menyaksikan virus itu mula menjangkiti kumpulan berisiko tinggi.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata golongan seperti wanita hamil, individu yang lemah imuniti badan dan kanak-kanak perlu berwaspada.

Agensi Kesihatan PBB itu turut memaklumkan, pihaknya sedang menyiasat laporan kanak-kanak yang dijangkiti, termasuk dua kes di Britain selain di Sepanyol dan Perancis.

Virus cacar monyet kini dikesan di lebih 50 negara di luar benua Afrika di mana ia selama ini dianggap endemik, dengan peningkatan kes di negara berkenaan tersebut.

WHO menggesa supaya ujian saringan dipertingkatkan bagi mengesan virus cacar monyet dan menurut Dr Tedros, terdapat lebih daripada 3,400 kes cacar monyet dan satu kematian, sejak wabak itu bermula pada Mei lalu.

Sebahagian besar kes yang dikesan di Eropah adalah dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis.

Terdapat juga lebih daripada 1,500 kes dan 66 kematian tahun ini di negara di mana ia lebih kerap merebak.

Minggu lalu, WHO memutuskan bahawa wabak itu belum lagi boleh dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan awam iaitu tahap amaran tertinggi.

Bagaimanapun, Dr Tedros berkata WHO sedang menjejaki wabak itu dengan teliti dan akan memanggil semula jawatankuasa itu 'secepat mungkin' untuk menilai sama ada ia perlu dipertimbangkan semula.

Agensi PBB berkata ia juga sedang mengusahakan mekanisme untuk mengedarkan vaksin dengan lebih saksama, selepas beberapa negara termasuk Britain dan Amerika Syarikat (AS) mencadangkan mereka bersedia untuk berkongsi stok simpanan vaksin cacar mereka. - AGENSI

Berita Harian X