Ahad, 26 Jun 2022 | 7:19am
 Foto fail REUTERS
Foto fail REUTERS

Cacar monyet belum lagi kecemasan kesihatan - WHO

LONDON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memutuskan penyakit cacar monyet belum lagi menjadi kecemasan kesihatan global.

Bagaimanapun Ketua Pengarah, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata beliau amat prihatin dengan penularan wabak itu.

"Saya amat prihatin dengan wabak cacar monyet, ini jelas adalah ancaman kesihatan yang sedang berkembang yang saya dan rakan sekerja dalam Sekretariat WHO sedang mengikuti dengan teliti," katanya.

Label "kecemasan global" pada masa ini hanya terpakai kepada wabak coronavirus dan usaha berterusan untuk membasmi polio.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu tidak menggunakan label berkenaan terhadap cacar monyet selepas menerima nasihat dalam mesyuarat pakar antarabangsa.

Terdapat lebih 3,200 kes cacar monyet yang disahkan dan satu kematian dilaporkan dalam tempoh enam minggu terakhir di 48 negara yang mana ia biasanya tidak merebak, menurut WHO.

Setakat tahun ini hampir 1,500 kes dan 70 kematian di Afrika tengah, yang mana penyakit itu lebih biasa, juga telah dilaporkan, terutamanya di Republik Demokratik Congo.

Cacar monyet, penyakit virus yang menyebabkan simptom seperti selesema dan lesi kulit, telah merebak sebahagian besarnya dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki dari negara yang penyakit itu menjadi endemik.

Menurut WHO, virus itu mempunyai dua klad (sekumpulan organisma) - strain Afrika Barat, yang dipercayai mempunyai kadar kematian sekitar satu peratus dan yang merupakan strain yang merebak di Eropah dan tempat lain, dan strain Congo Basin, yang mempunyai kadar kematian hampir 10 peratus.

Terdapat vaksin dan rawatan yang tersedia untuk cacar monyet walaupun ia terhad.

Keputusan WHO itu berkemungkinan menerima kritikan daripada pakar kesihatan global yang menegaskan sebelum pertemuan itu bahawa wabak berkenaan memenuhi kriteria untuk diklasifikasikan sebagai kecemasan.

Bagaimanapun, ada pihak menyifatkan WHO berada dalam kedudukan sukar selepas COVID-19. Pengisytiharan Januari 2020 bahawa coronavirus baharu mewakili kecemasan kesihatan awam sebahagian besarnya diabaikan oleh banyak kerajaan sehingga kira-kira enam minggu kemudian, apabila agensi itu menggunakan perkataan "pandemik" dan negara mengambil tindakan. - REUTERS

Berita Harian X