Sabtu, 25 Jun 2022 | 8:04am
Pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia menjalankan siasatan terhadap kes hepatitis yang teruk atau keradangan hati pada kanak-kanak. - Foto Google
Pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia menjalankan siasatan terhadap kes hepatitis yang teruk atau keradangan hati pada kanak-kanak. - Foto Google

Lebih 900 kanak-kanak dijangkiti hepatitis akut - WHO

GENEVA: Tiga puluh tiga negara melaporkan 920 kes berkemungkinan hepatitis akut yang teruk dalam kalangan kanak-kanak setakat ini, melonjak daripada 270 kes pada Mei, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat.

Menurut WHO, Eropah menyumbang separuh daripada kes berkemungkinan, termasuk 267 kes dari United Kingdom, manakala satu pertiga daripada kes berkemungkinan dari Amerika Syarikat (AS).

Pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia telah menyiasat peningkatan misteri dalam kes hepatitis yang teruk atau keradangan hati pada kanak-kanak.

Wabak itu pertama kali dilaporkan pada April di Britain dan sejak itu ia melanda puluhan negara lain.

Pegawai kesihatan AS berkata jangkitan adenovirus, virus biasa dalam kalangan kanak-kanak adalah hipotesis utama untuk kes berkenaan.

Data WHO terkini adalah pada 22 Jun dan mengecualikan empat negara dengan kes yang dilaporkan masih belum diklasifikasikan.

Daripada 422 kes yang mana mana maklumat berkaitan jantina dan umur tersedia, hampir separuh berlaku kepada kanak-kanak lelaki, dengan kebanyakannya di bawah umur enam tahun, menurut laporan itu.

WHO berkata 45 kanak-kanak dengan hepatitis akut memerlukan pemindahan hati, dan terdapat 18 kematian, kebanyakannya berlaku di rantau Amerika. - REUTERS

Berita Harian X