Khamis, 9 Jun 2022 | 6:03pm
Kakitangan syarikat farmaseutikal, Bavarian Nordic sedang bekerja di makmal di Martinsried dekat Munich, Jerman. Syarikat beribu pejabat di Denmark itu adalah satu-satunya pengeluar vaksin cacar di dunia, di bawah jenama Jynneos di Amerika Syarikat dan Imvanex di Eropah, yang juga berkesan bagi cacar monyet. - Foto REUTERS
Kakitangan syarikat farmaseutikal, Bavarian Nordic sedang bekerja di makmal di Martinsried dekat Munich, Jerman. Syarikat beribu pejabat di Denmark itu adalah satu-satunya pengeluar vaksin cacar di dunia, di bawah jenama Jynneos di Amerika Syarikat dan Imvanex di Eropah, yang juga berkesan bagi cacar monyet. - Foto REUTERS

Cacar monyet bukan lagi penyakit endemik - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa risiko cacar monyet untuk menjadi penyakit bukan endemik kini semakin ketara.

Agensi kesihatan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengeluarkan kenyataan berkenaan ketika lebih seribu kes cacar monyet disahkan wujud di 29 negara di luar benua Afrika, di mana ia sudah wujud sejak berdekad lamanya.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata pihaknya setakat ini tidak mengesyorkan supaya vaksinasi besar-besaran dilakukan bagi mengekang penyebaran virus cacar itu.

Beliau juga berkata, setakat ini tiada kematian dilaporkan akibat cacar monyet di luar benua Afrika manakala di Afrika sendiri, lebih 1,400 kes disyaki cacar monyet dilaporkan tahun ini termasuk 66 kematian.

"Risiko bahawa cacar monyet wujud di negara bukan endemik kini sudah menjadi kenyataan dan kita perlu berusaha membendungnya," kata Tedros pada satu sidang akhbar.

Kata Tedros, penyakit itu dikesan di sembilan negara Afrika tetapi ia kini dilaporkan turut terjadi di beberapa negara lain, kebanyakannya di Eropah, terutama di Britain, Sepanyol dan Portugal.

"Lebih 1,000 kes cacar monyet yang disahkan kini telah dilaporkan kepada WHO dari 29 buah negara yang bukan endemik bagi penyakit itu.

"Jangkitan tidak terhad kepada lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis, sebaliknya lebih banyak jangkitan dalam komuniti dilaporkan termasuk wanita

"Semalam, Greece menjadi negara terbaru mengesahkan kes cacar monyet membabitkan seorang lelaki yang baru pulang dari Portugal, yang kini dalam keadaan stabil di hospital," katanya.

Endemik ialah istilah yang merujuk kepada penyakit atau wabak yang wujud di sesuatu kawasan atau daerah tertentu dan tidak membabitkan jangkitan merebak sehingga ke negara lain.

Gejala awal cacar monyet termasuk demam panas, bengkak kelenjar limfa dan ruam seperti cacar air yang melepuh. - REUTERS

Berita Harian X