Sabtu, 4 Jun 2022 | 10:50am
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky (kanan) menemui askar yang cedera dan sedang menerima rawatan di Institut Nasional Surgeri dan Pemindahan Organ di Kyiv. - Foto AFP
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky (kanan) menemui askar yang cedera dan sedang menerima rawatan di Institut Nasional Surgeri dan Pemindahan Organ di Kyiv. - Foto AFP

Zelensky janji kemenangan selepas melepasi 100 hari perang di Ukraine

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menjanjikan kemenangan walaupun tentera Russia terus membedil wilayah timur dan dikatakan sudah menguasai 20 peratus negara itu .

Pada masa sama, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) berusaha mengeluarkan puluhan juta tan bijiran dari negara itu, sekali gus mengelakkan krisis makanan global bertambah tenat.

Sudah lebih 100 hari sejak Presiden Russia, Vladimir Putin, mengarahkan tenteranya masuk ke Ukraine pada 24 Februari lalu mengakibatkan ribuan orang terbunuh, jutaan penduduk melarikan diri dan bandar bertukar menjadi padang jarak.

Kemaraan tentera Russia bagaimanapun diperlahankan oleh tentangan sengit tentera Ukraine yang mengusir cuba mereka dari sekitar ibu negara dan memaksa Moscow mengalihkan sasarannya ke wilayah timur.

"Kemenangan akan menjadi milik kita," kata Zelensky dalam ucapan video terbarunya.

Bagaimanapun, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata 'hasil tertentu sudah dicapai', merujuk kepada pembebasan beberapa kawasan digelar 'angkatan bersenjata pro-Nazi Ukraine'.

Sementara itu, negara Barat terus menghantar senjata lebih berkuasa ke Ukraine dan mengenakan sekatan lebih ketat termasuk Kesatuan Eropah (EU), yang semalam secara rasmi menguatkuasakan larangan ke atas kebanyakan import minyak Russia.

Bekas gimnas, Alina Kabaeva, yang didakwa teman wanita Putin, turut dimasukkan ke dalam senarai hitam pembekuan aset dan larangan visa EU.

Pada masa yang sama, PBB berkata ia mengetuai rundingan penting dengan Russia untuk membenarkan hasil penuaian bijirin Ukraine dibawa keluar dari negara itu.

Selain menguasai 20 peratus Ukraine, tentera Russia kini turut mengenakan sekatan ke atas pelabuhan di Laut Hitam.

PBB memberi amaran bahawa negara Afrika, terutamanya, yang mengimport lebih separuh daripada penggunaan gandum mereka dari Ukraine atau Russia, bakal menghadapi krisis 'belum pernah berlaku sebelum ini' disebabkan oleh konflik itu.

Harga makanan di Afrika kini melebihi harga selepas kebangkitan Arab Spring 2011 dan rusuhan makanan pada 2008.

Sementara itu, Putin semalam, bertemu ketua Kesatuan Afrika, Presiden Senegal, Macky Sall, di kediamannya di Laut Hitam di Sochi.

Sall memberitahu Putin bahawa negara Afrika 'adalah mangsa keadaan' dalam konflik itu.

Selepas pertemuan itu, Sall berkata beliau 'sangat yakin', sambil menambah pemimpin Russia itu 'komited dan sedar bahawa krisis dan sekatan berkenaan menimbulkan masalah serius bagi negara berekonomi lemah'. - AFP

Berita Harian X