Rabu, 1 Jun 2022 | 8:51am
Canselor Jerman, Olaf Scholz pada sidang media di Sidang Kemuncak Pemimpin Kesatuan Eropah di Brussels, Belgium. -Foto REUTERS
Canselor Jerman, Olaf Scholz pada sidang media di Sidang Kemuncak Pemimpin Kesatuan Eropah di Brussels, Belgium. -Foto REUTERS

Greece hantar kereta kebal ke Ukraine

BRUSSELS: Jerman membuat perjanjian dengan Greece yang membolehkan Athens menghantar kenderaan ketenteraan era Soviet ke Ukraine, sebagai pertukaran untuk menerima lebih banyak kenderaan berperisai moden daripada Berlin.

Canselor Jerman, Olaf Scholz memaklumkan perkara itu selepas sidang kemuncak Kesatuan Eropah di sini.

"Kita akan membekalkan kenderaan pengangkut berperisai Jerman," kata Scholz

Berlin akan menghantar kereta kebal pengangkut Marder ke Greece, sebagai pertukaran, seterusnya Athens akan menghantar kereta kebal tempur BMP-1 era Soviet ke Ukraine, menurut laporan media Greece.

"Kami perlu melakukan pilihan yang tepat iaitu menyokong Ukraine dalam semua cara yang mungkin," kata Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis semasa lawatan ke Belanda semalam.

Bagaimanapun, beliau mengakui Greece mengekalkan hubungan 'agak rapat' dengan Russia atas faktor geografi dan tradisi gereja Ortodoksnya.

Greece yang juga negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menghantar peralatan pertahanan ke Ukraine pada Februari lalu termasuk senjata anti-kereta kebal, Kalashnikov dan peluru. Tindakan itu mengundang kritikan daripada parti pembangkang yang berhaluan kiri.

Parti pembangkang utama Greece, Syriza berkata, tidak dapat difikirkan bahawa Scholz mengumumkan perjanjian kereta kebal kepada rakyat Greece, manakala Mitsotakis tidak menyebutnya selepas sidang kemuncak EU di Brussels.

Jerman juga sudah mencapai satu perjanjian sama dengan Republik Czech untuk membantu membekalkan senjata kepada Ukraine dan kini sedang berunding dan Poland.

Matlamatnya adalah untuk membekalkan Ukraine dengan senjata paling diperlukan daripada stok lama pada era Soviet yang boleh digunakan secara semasa peperangan, sebagai cubaan untuk menghentikan pencerobohan Russia.

Jerman merancang untuk menghantar 14 kereta kebal Leopard dan sebuah kenderaan berperisia Leopard ke Prague sebagai pertukaran untuk Republik Czech menghantar kereta kebal T-72 kepada Ukraine.

Bagaimanapun, tiada data yang direkodkan membabitkan urusan penghantaran kenderaan dan senjata yang diperkatakan itu.

Pertukaran yang dirancang dengan Poland yang bertujuan untuk melihat Warsaw menerima pengganti peralatan moden untuk dihantar ke Ukraine juga masih belum menjadi kenyataan. - AFP

Berita Harian X