Ahad, 29 Mei 2022 | 10:31am
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

650 kanak-kanak diserang penyakit hepatitis akut - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan terbarunya mendedahkan jumlah kanak-kanak terkesan akibat 'hepatitis akut akibat entiologi tidak dikenali' meningkat lebih 100 peratus pada bulan ini.

Laporan Wabak WHO mengesahkan 650 kes berkemungkinan besar hepatitis akut dalam kalangan kanak-kanak dilaporkan di 33 negara di lima wilayah WHO antara 5 April hingga 26 Mei lalu.

Selain itu, 99 kes lain masih dalam perhatian tetapi WHO berpendapat jumlah sebenar kes mungkin jauh lebih tinggi.

Data berkenaan bercanggah dengan laporan WHO serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC), yang pada 20 Mei lalu melaporkan, 276 kes paediatrik disahkan dari rantau Eropah.

Setakat semalam, WHO memaklumkan, berdasarkan kes yang sedang ditangani, ujian makmal mengesahkan tiada kes virus hepatitis A-E pada kanak-kanak yang diperiksa setakat ini.

Bagaimanapun, United Kingdom (UK), yang melaporkan jumlah tertinggi 222 kes hepatitis akut, baru-baru ini mendapati peningkatan aktiviti adenovirus yang menular bersama coronavirus SARS-CoV-2, namun kesan virus itu dari segi patogenesis belum lagi jelas.

Setakat ini, jangkitan daripada manusia kepada manusia tidak boleh ditolak kerana kes yang mempunyai kaitan epidemiologi disahkan di Scotland dan Belanda.

Siasatan terperinci epidemiologi, klinikal, makmal, histopatologi dan toksikolog terhadap kemungkinan kes berkenaan tercetus sedang dijalankan beberapa pihak berkuasa kebangsaan dan rangkaian penyelidik merentasi kumpulan kerja berbeza membabitkan WHO dan rakan kongsi.

Penasihat Kanan Perubatan dan Pengarah di Agensi Keselamatan Kesihatan UK, Dr Renu Bindra, dalam satu kenyataan media, berkata siasatan terhadap hepatitis akut masih berterusan.

"Penyiasatan kami setakat ini menunjukkan ia ada kaitan dengan adenovirus kami sedang meneroka kemungkinan ini, bersama beberapa faktor penyumbang lain termasuk jangkitan terdahulu, umpamanya COVID-19," katanya. - AGENSI

Berita Harian X