Sabtu, 21 Mei 2022 | 9:37pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Kerajaan UK disaman kerana guna sarung tangan Malaysia

LONDON: Mahkamah Tinggi United Kingdom (UK) akan mendengar tuntutan sebuah kumpulan yang menentang langkah berterusan kerajan UK menggunakan sarung tangan pakai buang buatan syarikat Malaysia yang didakwa mengamalkan buruh paksa.

Menurut laporan portal berita The Independent, kes terbabit dikemukakan oleh kumpulan aktivis dikenali sebagai The Citizens, yang mendedahkan kemungkinan wujudnya amalan buruh paksa dalam rantaian bekalan kerajaan UK.

Syarikat pengeluar sarung tangan berkenaan sebelum ini dilatari dengan dakwaan buruh paksa terutama apabila Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan arahan penahanan import daripada syarikat terbabit.

Syarikat itu turut berdepan tindakan sama di Kanada.

Kerajaan UK pada November tahun lalu memaklumkan, akan menyiasat dakwaan terbabit namun sebulan selepas itu mereka menganugerahkan perjanjian rangka kerja, tender dan bekalan lain bernilai RM32 bilion kepada anak syarikat berkenaan.

Saman terbabit difailkan Wilson Solicitors LLP, yang mewakili beberapa pekerja dan bekas kakitangan syarikat sarung tangan Malaysia itu.

"Perintah Mahkamah Tinggi menggariskan terdapat tuntutan yang boleh dipertikaikan mengenai pelanggaran berat kewajipan undang-undang awam dan perlu dijawab, maka dengan itu kebenaran untuk perbicaraan semakan kehakiman penuh dibenarkan.

"Walaupun keputusan Mahkamah Tinggi untuk memberikan kebenaran hanya peringkat pertama prosiding undang-undang ini, ia amat penting kerana ini adalah kes pertama di mahkamah untuk mempertimbangkan penggunaan buruh paksa dalam proses perolehan kerajaan," kata peguam utama, Nusrat Uddin.

Dalam pada itu, pegawai kerajaan dilaporkan sudah mengenal pasti syarikat yang terbabit dengan dakwaan buruh paksa itu sejak November 2019, namun berterusan membeli produk berkenaan terutama ketika kemuncak pandemik COVID-19.

"Walaupun kami tidak boleh mengulas mengenai kontrak individu, kami mengambil serius dakwaan seperti ini dan akan mengambil tindakan segera jika perlu.

"Proses sewajarnya dijalankan untuk semua kontrak kerajaan dan pembekal dikehendaki mengikut piawaian undang-undang serta etika ditetapkan.

"Jika mereka gagal berbuat demikian, kami akan mengeluarkan mereka daripada kontrak," kata jurucakap Jabatan Kesihatan dan Sosial. - AGENSI

Berita Harian X