Rabu, 11 Mei 2022 | 6:47am
 Foto hiasan/REUTERS
Foto hiasan/REUTERS

WHO kaji kaitan COVID-19 dengan misteri hepatitis kanak-kanak

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata terdapat 348 kes kemungkinan hepatitis yang tidak diketahui asalnya dikenal pasti ketika kajian mengenai potensi peranan adenovirus dan jangkitan COVID-19 semakin meningkat.

Organisasi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menjelaskan hipotesis utama kekal yang membabitkan adenovirus.

Kes dilaporkan di 20 negara dengan 70 kes tambahan daripada 13 negara lagi yang sedang menunggu pengesahan ujian.

Hanya enam negara melaporkan lebih lima kes dengan lebih daripada 160 kes dilaporkan di Britain.

"Sepanjang minggu lalu, terdapat beberapa kemajuan penting dengan penyiasatan lanjut dan beberapa penyempurnaan hipotesis kerja," kata Philippa Easterbrook, daripada program hepatitis global WHO, pada sidang media pada Selasa.

Beliau berkata Britain menyelaraskan satu set kajian komprehensif melihat genetik kanak-kanak yang terjejas, tindak balas imun mereka, virus dan kajian epidemiologi lanjut.

WHO dimaklumkan pertama kali pada 5 April daripada 10 kes hepatitis yang tidak dapat dijelaskan di Scotland, yang dikesan pada kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS) berkata pada Jumaat ia sedang menyiasat 109 kes sedemikian, termasuk lima kematian yang dilaporkan.

"Pada masa ini, hipotesis utama kekal yang membabitkan adenovirus - dengan juga masih menjadi pertimbangan penting mengenai peranan COVID-19 sama ada sebagai jangkitan bersama atau jangkitan masa lalu," kata Easterbrook.

Ujian lanjut pada minggu lalu mengesahkan kira-kira 70 peratus daripada kes diuji positif untuk adenovirus, dengan sub-jenis 41 - biasanya dikaitkan dengan gastroenteritis - sub-jenis yang lazim, tambahnya.

Ujian juga menunjukkan bahawa sekitar 18 peratus kes secara aktif diuji positif untuk COVID-19.

"Tumpuan utama pada minggu depan adalah melihat ujian serologi untuk pendedahan dan jangkitan COVID sebelum ini," kata Easterbrook.

Saintis berkata dalam tempoh seminggu, perlu ada data dari Britain mengenai kajian kawalan kes yang membandingkan sama ada kadar pengesanan adenovirus berbeza daripada kanak-kanak lain yang dimasukkan ke hospital.

"Itu benar-benar akan membantu menilai sama ada adeno hanyalah jangkitan sampingan yang telah dikesan, atau terdapat hubungan sebab akibat atau kemungkinan," kata Easterbrook.

Beliau berkata kajian mikroskopik sampel hati dan biopsi tidak menunjukkan ciri tipikal yang mungkin dijangkakan dengan keradangan hati akibat adenovirus.

Adenovirus biasanya disebarkan melalui sentuhan peribadi rapat, titisan pernafasan dan permukaan.

Ia secara amnya diketahui menyebabkan gejala pernafasan, konjunktivitis atau gangguan pencernaan.

WHO merujuk kepada wabak keradangan hati yang teruk sebagai hepatitis akut yang tidak diketahui asalnya dalam kalangan kanak-kanak kecil.

Tiga kanak-kanak di Indonesia meninggal dunia akibat penyakit itu.

Sesetengah kes menyebabkan kegagalan hati dan memerlukan pemindahan.

Banyak kes melaporkan jaundis dan gejala gastrousus termasuk sakit perut, cirit-birit dan muntah.

Selepas penemuan 169 kes pertama, WHO berkata virus biasa yang menyebabkan hepatitis virus akut (virus hepatitis A, B, C, D dan E) tidak dikesan dalam mana-mana daripadanya. - AFP

Berita Harian X