Rabu, 4 Mei 2022 | 8:23pm
Kanak-kanak di Madagascar terpaksa memakan sebatian tanah liat dan biji asam jawa yang dikisar bagi menahan lapar kerana kekurangan bekalan makanan. - Foto AFP
Kanak-kanak di Madagascar terpaksa memakan sebatian tanah liat dan biji asam jawa yang dikisar bagi menahan lapar kerana kekurangan bekalan makanan. - Foto AFP

40 juta lagi berdepan krisis kelaparan tahun lalu - PBB

PARIS: Penduduk dunia yang berdepan isu kelaparan meningkat kepada 193 juta tahun lalu ketika konflik, perubahan iklim dan krisis ekonomi merosakkan kehidupan manusia, kata Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) hari ini.

Pakar memberi amaran bahawa perang Russia di Ukraine berisiko menyebabkan kebuluran, menurut laporan tahunan FAO.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu memaklumkan, hampir 40 juta lagi individu berada dalam krisis 'keselamatan makanan yang teruk' tahun lalu.

Daripada 53 negara yang berdepan isu itu, Republik Demokratik Congo, Ethiopia, Yaman dan Afghanistan paling teruk terkesan, terutama Afghanistan yang menyaksikan jutaan penduduknya kelaparan selepas negara itu terjerumus dalam krisis kewangan selepas Taliban mengambil alih pemerintahan tahun lalu.

Menurut PBB, isu keselamatan makanan yang teruk berlaku apabila seseorang tidak mampu mendapatkan jumlah makanan mencukupi dan keadaan itu mengancam nyawa atau kelangsungan hidup secara serta merta.

"Ini adalah krisis kelaparan yang berisiko bertukar menjadi kebuluran dan kematian besar-besaran," kata FAO.

Jumlah itu meningkat secara berterusan sejak FAO menerbitkan laporan kali pertama, iaitu Program Makanan Dunia dan Kesatuan Eropah (EU) pada 2016.

Menurut FAO, peningkatan pada tahun lalu disebabkan gabungan tiga faktor iaitu konflik, cuaca ekstrem dan kejutan ekonomi, dengan jumlah individu terkesan di 53 negara.

Walaupun laporan itu tidak mengambil kira konflik di Ukraine, FAO menjangkakan perang itu bakal memberi kesan paling buruk terhadap negara yang mengalami krisis makanan dan di ambang kebuluran.

Russia dan Ukraine adalah pengeksport utama pelbagai produk pertanian penting, merangkumi gandum dan minyak bunga matahari hinggalah baja, dan FAO sebelum ini memaklumkan, konflik itu menyebabkan harga makanan dunia melonjak ke paras tertinggi pada Mac lalu.

FAO turut menjelaskan, beberapa negara yang dibelenggu krisis makanan mengimport hampir semua gandum dari Russia dan Ukraine tahun lalu, termasuk Somalia, Republik Demokratik Congo dan Madagascar.

Menurut FAO, jangkaan masa depan berhubung isu berkenaan tidak positif.

"Hari ini, jika tiada usaha tambahan untuk menyokong komuniti kampung, skala kemusnahan dari segi kelaparan dan kelangsungan hidup adalah amat dahsyat," menurut laporan itu.

Pada 2021, konflik dan isu keselamatan menjadi punca utama kebuluran melampau di 24 negara, membabitkan 139 juta penduduk.

'Kejutan' ekonomi diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19 yang menjejaskan bekalan makanan kepada 30.2 juta penduduk di 21 negara.

Cuaca melampau pula menyebabkan kekurangan makanan serius bagi 23.5 juta penduduk di negara Afrika.

FAO berkata ia memerlukan AS$1.5 bilion (RM6.5 bilion) untuk menstabilkan dan menambah pengeluaran makanan di kawasan berisiko tinggi di mana musim penanaman bermula.

"Tiada masa lagi untuk dibazirkan," katanya dalam satu kenyataan menjelang perjumpaan agensi itu mengenai isu berkenaan hari ini. - AFP

Berita Harian X