Isnin, 25 April 2022 | 6:51pm
Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin (kiri) dan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken (kanan) bertemu dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky (tengah) di Kyiv. - Foto AFP
Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin (kiri) dan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken (kanan) bertemu dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky (tengah) di Kyiv. - Foto AFP

Ukraine 'boleh menang' perang dengan 'peralatan yang betul': AS

SEMPADAN UKRAINE-POLAND: Amerika Syarikat mahu Russia "dilemahkan" supaya negara itu tidak boleh menyerang lagi dan Ukraine boleh memenangi perang jika dibekalkan dengan senjata yang betul, kata Ketua Pentagon, Lloyd Austin selepas pulang dari lawatan ke Kyiv.

"Langkah pertama untuk menang ialah percaya bahawa anda boleh menang. Jadi mereka percaya kami boleh menang," kata Austin kepada sekumpulan wartawan selepas lawatan dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.

Kedua-duanya, bertemu dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menjadi pegawai berprofil tinggi AS pertama melawat Ukraine sejak pencerobohan Russia bermula pada 24 Februari lalu.

"Kami percaya bahawa kami boleh menang, mereka boleh menang jika mereka mempunyai peralatan yang betul, sokongan yang betul," kata Austin.

Austin dan Blinken berkata, diplomat AS akan kembali ke Ukraine secara beransur-ansur dalam minggu ini dan mengumumkan AS$700 juta (RM30.04 bilion) sebagai bantuan ketenteraan tambahan.

"Kami mahu melihat Russia menjadi lemah sehingga ia tidak boleh melakukan perkara seperti yang telah dilakukannya dalam menceroboh Ukraine," kata Austin.

Russia "telah kehilangan banyak keupayaan ketenteraan, malah banyak tenteranya gugur di perbatasan, dan kami mahu melihat mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menghasilkan semula keupayaan itu dengan cepat," katanya. - AFP

Berita Harian X