Selasa, 19 April 2022 | 1:09pm
Anggota bomba Russia memadamkan kebakaran di sebuah depoh minyak di Belgorod yang didakwa Russia diserang oleh Ukraine. - Foto AFP
Anggota bomba Russia memadamkan kebakaran di sebuah depoh minyak di Belgorod yang didakwa Russia diserang oleh Ukraine. - Foto AFP

Ukraine serang perkampungan berhampiran sempadan

MOSCOW: Tentera Ukraine menyerang sebuah kampung berhampiran sempadan Russia dengan Ukraine, menyebabkan seorang penduduk tercedera, kata Gabenor Wilayah Belgorod, Vyacheslav Gladkov hari ini.

Setakat ini, masih belum jelas sama ada serangan ke atas kampung Golovchino yang dikongsi Gladkov menerusi aplikasi Telegram dilakukan menggunakan meriam, bom mortar, peluru berpandu atau dalam bentuk serangan udara.

Terdahulu, pada awal bulan ini Russia menuduh Ukraine yang diceroboh akhir Februari lalu melakukan serangan helikopter ke atas depoh bahan api di Belgorod, membedil perkampungan di situ beberapa kali dan menembak peluru berpandu ke depoh peluru.

Untuk rekod, Russia menyifatkan serangan yang dilancarkan ke atas Ukraine sebagai 'operasi khas ketenteraan'.

Malah, Russia turut menafikan ia menyasarkan orang awam dalam serangan berkenaan.

Sebelum ini, Presiden Russia, Vladimir mengumumkan operasi ketenteraan khas ke atas negara jiran itu dibuat selepas konflik kedua-dua negara yang sudah berlarutan mencapai kemuncak.

Putin berkata, operasi berkenaan bukan bertujuan menduduki Ukraine, namun bagi melindungi kumpulan pemisah di timur negara itu dan 'melucutkan' tentera jirannya yang pro-Barat.

Sementara itu, di Kyiv, penyiasat Ukraine memeriksa 269 mayat di Irpin, sejak bandar itu dirampas tentera Russia hujung Mac lalu, menurut pegawai polis kelmarin dengan pekerja menggali kubur baharu di pinggir bandar itu.

Bandar itu mempunyai populasi kira-kira 62,000 penduduk sebelum perang, menjadi kawasan utama pertempuran tentera Russia sebelum mereka berundur dari wilayah utara Ukraine untuk memperhebatkan serangan di timur.

Di bawah pengawasan, beberapa orang kelihatan berkabung dan menangis, manakala pekerja kelihatan tergesa menyodok tanah berpasir ke dalam satu kubur.

"Setakat ini, kami sudah memeriksa sebanyak 269 mayat," kata Timbalan Ketua Polis, Serhiy Panteleyev.

"Siasatan forensik masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa perang selain berkongsi beberapa gambar mayat yang terbakar," katanya dalam sesi penerangan yang dijalankan secara maya. - REUTERS

Berita Harian X