Sabtu, 9 April 2022 | 9:53pm
Tentera Russia telah memusnahkan depoh peluru di Pangkalan Udara Myrhorod di tengah-timur Ukraine, lapor agensi berita Interfax, memetik Kementerian Pertahanan Russia. - Foto AGENSI
Tentera Russia telah memusnahkan depoh peluru di Pangkalan Udara Myrhorod di tengah-timur Ukraine, lapor agensi berita Interfax, memetik Kementerian Pertahanan Russia. - Foto AGENSI

Tentera Russia musnahkan depoh peluru di pangkalan udara Ukraine - Interfax

MOSCOW: Tentera Russia dilaporkan memusnahkan depoh peluru di Pangkalan Udara Myrhorod di tengah-timur Ukraine, hari ini, menurut laporan agensi berita Interfax dengan memetik Kementerian Pertahanan Russia.

Berdasarkan maklumat jurucakap Kementerian Pertahanan, Igor Konashenkov, sebuah pesawat pejuang MiG-29 tentera udara Ukraine dan sebuah helikopter Mi-8 turut musnah dalam serangan ke atas pangkalan di wilayah Hijrah.

Beliau berkata, sebuah depoh peluru besar turut musnah berhampiran bandar Novomoskovsk di wilayah Dnipro tengah-timur.

Russia mengerahkan puluhan ribu tentera ke Ukraine pada 24 Februari lalu atas operasi khas tentera untuk menyahnazikan dan menjadikan Ukraine sebagai zon bebas tentera.

Ukraine hari ini mengarahkan orang awam di wilayah timur Luhansk untuk menyelamatkan diri daripada tembakan Russia selepas maklumat rasmi mengesahkan lebih 50 orang awam yang cuba berpindah dengan kereta api dari wilayah jiran terbunuh dalam serangan peluru berpandu.

Russia bagaimanapun berulang kali menafikan dakwaan jenayah perang dan menyasarkan serangan terhadap Ukraine.

Konashenkov hari ini berkata, Russia sudah mencecah 85 sasaran tentera di Ukraine, termasuk dua pos komando, tiga pelancar roket, empat senjata artileri gerak sendiri, depoh peluru dan dua depoh logistik.

Menurut Gabenor wilayah Poltava, Dmytro Lunin, di media sosial, dua mangsa cedera dan kerosakan besar disebabkan oleh serangan Russia di Myrhorod. 

Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut.

Pada 2 April lalu, Lunin berkata, serangan udara Russia merosakkan landasan lapangan terbang dan depoh bahan api berhampiran pangkalan udara itu.

Interfax sebelum ini memetik kenyataan Konashenkov bahawa sejak 24 Februari lalu, tentera Russia dilaporkan memusnahkan 650 pesawat termasuk jet dan helikopter dengan lebih 2,000 kereta kebal dan kenderaan berperisai di Ukraine.

Menurut anggaran Kementerian Pertahanan Ukraine, 19,100 pegawai Russia terbunuh sejak bermulanya pencerobohan terbabit.

Katanya, Russia juga kehilangan sebanyak 705 kereta kebal dan 1,895 kapal pengangkut kakitangan berperisai, 151 pesawat dan 136 helikopter.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, Khamis lalu berkata, Russia mengalami kerugian yang ketara di Ukraine.

Sehingga 25 Mac lalu, Kementerian Pertahanan Russia berkata, 1,351 tentera Russia terbunuh sejak bermulanya insiden itu dan 3,825 lagi cedera. - REUTERS

Berita Harian X