Isnin, 4 April 2022 | 5:09pm
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

Mutasi Omicron XE didapati lebih mudah berjangkit

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran mengenai satu mutasi baharu varian Omicron dinamakan XE, yang lebih mudah berjangkit berbanding mana-mana varian COVID-19.

Menurut laporan Times of India, WHO menerusi laporan terbarunya berkata varian berkenaan adalah gabungan mutasi hibrid dua versi terdahulu bagi Omicron iaitu BA.1 dan BA.2.

"Mutasi yang baru dikenal pasti ini diramal kira-kira 10 peratus lebih mudah berjangkit berbanding sub-varian BA.2, namun kami masih perlu membuat kajian lanjut bagi mengesahkan perkara ini.

"Buat masa ini, sub-varian Omicron, BA.2 menular di seluruh dunia dengan menjadi varian paling mudah berjangkit di kebanyakan negara.

"Varian XE (gabungan BA.2 dan BA.2) ini mula dikesan di Britain pada 19 Januari lalu dan sejak itu, kurang 600 kes susulan dilaporkan," ," kata WHO dalam laporan yang diterbitkan awal minggu ini.

Tambah WHO, sehingga ciri-ciri penting seperti kesan terhadap pesakit dan jangkitan dapat dikenal pasti dalam mutasi XE, ia akan terus diklasifikasikan sebagai sebahagian daripada varian Omicron.

Sementara itu, Agensi Keselamatan Kesihatan Britain berkata terdapat tiga mutasi gabungan yang kini menular di seluruh dunia iaitu XD, XE dan XF.

Bagi XD, ia merupakan hibrid bagi varian Delta dan sub-varian BA.1, yang dikesan di Perancis, Denmark dan Belgium.

Mutasi XE pula adalah hibrid bagi sub-varian BA.1 dan BA.2 yang ditemui di Britain, manakala mutasi XF adalah satu lagi hibrid Delta dan BA.1.

Ia ditemui di Britain, namun tidak pernah dikesan lagi sejak 15 Februari lalu. – AGENSI

Berita Harian X