Isnin, 28 March 2022 | 11:53am
Anggota tentera Ukraine memegang senjata Sistem Senjata Anti Kereta Kebal Generasi Baru (NLAW) yang diguna untuk memusnahkan kereta perisai Russia di Irpin, utara Kyiv. - Foto AFP
Anggota tentera Ukraine memegang senjata Sistem Senjata Anti Kereta Kebal Generasi Baru (NLAW) yang diguna untuk memusnahkan kereta perisai Russia di Irpin, utara Kyiv. - Foto AFP

Ukraine jadi medan lambak senjata keluaran pelbagai negara

WASHINGTON: Pencerobohan Russia ke atas Ukraine mulai 24 Februari lalu menerusi serangan dari darat, laut dan udara menyaksikan pelbagai negara melambakkan bekalan senjata kepada Ukraine.

Serangan tentera terbesar oleh sebuah negara terhadap negara lain di Eropah sejak Perang Dunia Kedua itu turut menyaksikan pelbagai senjata baharu mula digunakan di medan perang.

Russia beralih daripada serangan strategik terhadap sasaran tentera menggunakan peluru berpandu kepada serangan di darat dan kini mengepung bandar besar.

Setakat ini, Amerika Syarikat (AS) meluluskan bantuan dana ketenteraan kepada Ukraine berjumlah AS$1.2 bilion (RM5.033 bilion) sejak Januari 2021 selain tambahan AS$200 juta (RM838.9 juta) baru-baru ini.

Secara keseluruhan, dana berjumlah AS$3.2 bilion (RM13.4 bilion) telah disediakan sejak 2014 ketika Russia dilaporkan mengambil alih wilayah Crimea.

Britain pula menghantar 6,000 peluru berpandu dan AS$33 juta (RM139 juta) sebagai bantuan kewangan kepada tentera Ukraine.

Sebelum ini, London menyediakan Kyiv dengan lebih 4,000 senjata anti kereta kebal, termasuk Sistem Senjata Anti Kereta Kebal Generasi Baru (NLAW) yang lebih dikenali sebagai peluru berpandu Javelin.

Beberapa negara Eropah juga membekalkan Ukraine dengan pelbagai senjata termasuk senjata canggih yang boleh memusnahkan kenderaan berperisai.

Ukraine juga membuktikan keupayaan mereka menggunakan senjata dibekalkan Britain dan senjata anti kereta kebal yang diperbuat di AS untuk menentang tentera Russia yang lebih besar.

Namun, dalam ucapannya kepada Kongres AS baru-baru ini, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, meminta bantuan tambahan sedang tentera Russia terus menyerang dan berusaha mengepung bandar utama negara itu.

Pegawai pemerintah AS dan Eropah juga mahu menghantar lebih banyak peralatan ke Ukraine untuk digunakan pasukan kecil dengan teknologi yang boleh mengatasi pertahanan atau memanfaatkan kelemahan Russia, berbanding senjata seperti kereta kebal dan pesawat perang yang memerlukan sokongan logistik yang banyak.

Sebagai sebahagian daripada pakej bekalan bagi Ukraine itu, pentadbiran AS antara lain akan menyediakan dron 'Switchblade' yang boleh dibawa dalam beg galas, menurut pegawai yang diberi taklimat tentang rancangan itu.

Pegawai tentera juga menggelarnya sebagai dron 'kamikaze' kerana ia boleh diterbangkan terus ke arah kereta kebal atau sekumpulan askar.

Dron itu musnah apabila terkena sasaran dan meletup, seperti juruterbang Jepun yang membunuh diri semasa Perang Dunia Kedua.

Selain sistem antipesawat seperti Stinger, Ukraine juga meminta sistem pertahanan udara mudah alih yang boleh menyerang pesawat yang terbang lebih tinggi, seperti pesawat pengebom yang menyerang kawasan latihan dekat sempadan Poland minggu lalu.

Pakej bekalan senjata baru dari AS itu juga termasuk senjata kecil seperti senapang, pistol, mesingan dan pelancar bom.

Menurut pakar, askar memerlukan masa beberapa jam saja untuk belajar bagaimana untuk menggunakan pelancar peluru anti kereta kebal Javelin yang diperbuat di AS dan peluru anti kereta kebal NLAW Britain. - AGENSI

Berita Harian X