Jumaat, 25 March 2022 | 9:09pm
Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksii Reznikov (tengah, kiri) menyerahkan senjata dan peluru kepada anggota tentera Ukraine di lapangan. - Foto AFP
Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksii Reznikov (tengah, kiri) menyerahkan senjata dan peluru kepada anggota tentera Ukraine di lapangan. - Foto AFP

Ukraine terdesak bekalan senjata semakin berkurangan

KYIV: Ukraine dilaporkan mengalami masalah kekurangan bekalan senjata dan meminta Perancis serta Jerman menghantar lebih banyak senjata bagi menghadapi serangan tentera Russia.

Daily Mail melaporkan, Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba, berkata pihak tentera negara itu hanya mempunyai bekalan senjata untuk dua minggu, sebelum terpaksa menggunakan senjata anti jet pejuang dan anti peluru berpandu dari negara lain.

Jelas beliau, keadaan itu tidak mampu pulih sepenuhnya, biarpun Barat membekalkan senjata tambahan kerana serangan Russia kini semakin meningkat.

Presiden pertubuhan kebajikan, Kongres Dunia Ukraine, Paul Grod, berkata beberapa negara gagal memenuhi permintaan ketenteraan Ukraine.

Difahamkan, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, mengenai Ukraine memerlukan bekalan bantuan untuk tempoh seminggu dihantar dalam tempoh 20 jam.

Sebagai reaksi, Britain akan menghantar 6,000 peluru berpandu dan AS$33 juta (RM139 juta) sebagai bantuan kewangan kepada tentera Ukraine untuk membantu negara itu memerangi tentera Russia.

Sebelum ini, London menyediakan Kyiv dengan lebih 4,000 senjata anti kereta kebal, termasuk Sistem Senjata Antikereta Kebal Generasi Baru (NLAW) yang lebih dikenali sebagai peluru berpandu Javelin.

Keadaan terdesak Ukraine juga menyaksikan tentera negara itu terpaksa menggunakan kenderaan dan peralatan tentera Russia yang ditawan bagi meningkatkan bekalan mereka.

Dalam pada itu, Barat menyatakan pasukan pertahanan Ukraine secara jelas membelanjakan banyak sumber kewangan bagi mendapatkan bekalan senjata, namun langkah itu disifatkan 'berbaloi' apabila masih mampu bertahan sehingga kini menentang kemaraan Russia.

Malah, Pentagon memaklumkan tentera Ukraine sudah mula menyusun strategi serangan yang lebih komprehensif untuk menentang Russia

Sementara itu, Kakitangan Am Angkatan Tentera Ukraine memaklumkan tentera Russia membentuk dan memindahkan unit tambahan angkatan tentera Persekutuan Russia ke sempadan Ukraine.

Jelasnya, langkah itu giat dijalankan oleh pegawai tentera di wilayah Smolensk, barat Russia.

"Anggota tentera yang kembali dari Syria sedang diambil untuk menambah unit serangan," katanya.

Sebelum ini, pegawai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) percaya kira-kira 15,000 tentera Russia berkemungkinan terbunuh pada bulan pertama konflik, dengan jumlah yang mengalami kecederaan sekitar 40,000 orang. - AGENSI

Berita Harian X