Jumaat, 25 March 2022 | 5:25pm
Orang ramai meninggalkan mesej pada Dinding Peringatan COVID-19 Kebangsaan sempena ulang tahun kedua pandemik coronavirus di United Kingdom. - Foto REUTERS
Orang ramai meninggalkan mesej pada Dinding Peringatan COVID-19 Kebangsaan sempena ulang tahun kedua pandemik coronavirus di United Kingdom. - Foto REUTERS

Penamatan sekatan COVID-19 di Eropah lonjak kes baharu

GENEVA: Pegawai kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa lonjakan baharu kes COVID-19 di beberapa negara Eropah berlaku disebabkan mereka menamatkan sekatan pandemik terlalu awal.

Menurut laporan stesen penyiaran CNN, wabak coronavirus kembali menular dengan pantas di 18 negara Eropah termasuk Britain, Perancis, Itali dan Jerman.

Pengarah Wilayah Eropah WHO, Hans Kluge, menyalahkan keadaan itu kepada keputusan kerajaan yang membuat perubahan mendadak ke atas dasar sekatan mengenai COVID-19.

"Pada awalnya, mereka mengenakan terlalu banyak sekatan dan secara tiba-tiba memutuskan untuk menamatkan semuanya sekali gus.

"Ia satu tindakan yang terburu-buru dan kesannya dapat dilihat dengan lambakan kes akibat subvarian Omicron iaitu BA.2," kata Kluge.

Kebanyakan negara Eropah mengenakan semula sekatan ketat ke atas perhimpunan sosial selepas kemunculan varian Omicron tahun lepas,namun melonggarkannya semula secara drastik pada awal tahun ini.

Ia dibuat apabila data menunjukkan bahawa Omicron tidak mengakibatkan gejala teruk meskipun mampu disebar jauh lebih pantas berbanding varian terdahulu.

Kini, subvarian BA.2 sedang mendominasi pusingan baharu jangkitan di rantau itu, namun Kluge menyatakan beliau bersifat optimistik tetapi kekal waspada dengan perkembangan semasa wabak COVID-19 dalam wilayah jagaannya.

Mesej Kluge boleh diambil sebagai amaran kepada dunia bahawa subvarian BA.2 bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Bagaimanapun, pakar kesihatan awam berkata orang ramai tidak perlu panik kerana meskipun BA.2 disifatkan sebagai virus paling cepat merebak di dunia namun gejala yang dihasilkan adalah lebih kurang serupa dengan varian Omicron yang asal. – AGENSI

Berita Harian X