Khamis, 24 March 2022 | 7:18pm
Sanak saudara mangsa yang maut akibat COVID-19 bertafakur sejenak di Jambatan Westminister di London, sempena memperingati ulang tahun pertama perintah berkurung di negara itu. - Foto EPA
Sanak saudara mangsa yang maut akibat COVID-19 bertafakur sejenak di Jambatan Westminister di London, sempena memperingati ulang tahun pertama perintah berkurung di negara itu. - Foto EPA

Beberapa negara Eropah tarik balik sekatan COVID-19

CHISINAU: Beberapa negara Eropah, termasuk Jerman, Perancis, Itali dan Britain, menarik balik sekatan COVID-19 secara melulu dan kini menyaksikan peningkatan kes COVID-19, mungkin disebabkan oleh varian BA2 yang lebih mudah menular.

Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah, Dr Hans Kluge, pada sidang akhbar di Moldova, memaklumkan beliau 'optimis namun tetap berwaspada' berkaitan perkembangan pandemik di Eropah.

Katanya, jangkitan coronavirus semakin meningkat di 18 daripada 53 negara di benua Eropah.

"Terdapat negara yang mencatatkan peningkatan ketara kes jangkitan seperti United Kingdom (UK), Ireland, Greece, Cyprus, Perancis, Itali dan Jerman.

"Sebab utama peningkatan ini berkemungkinan akibat varian BA2, yang lebih mudah menular, namun kurang berbahaya berbanding varian lain.

"Justeru, negara-negara itu boleh menarik balik sekatan yang terlalu ketat, mengurangkannya sehingga tahap yang boleh diterima penduduk," katanya.

Menurut pangkalan data WHO, jumlah kes baharu COVID-19 di Eropah turun mendadak selepas mengalami lonjakan pada akhir Januari, tetapi meningkat semula sejak awal bulan ini.

Sepanjang tempoh tujuh hari lalu, lebih 5.1 juta kes baharu dan 12,496 kematian dilaporkan di benua Eropah.

Itu menjadikan jumlah kes sejak permulaan pandemik kepada hampir 194.4 juta dan jumlah kematian kepada lebih 1.92 juta.

Jangkitan COVID-19 di Eropah Barat melonjak sekali lagi disebabkan kebanyakan negara mula menarik balik sekatan, imuniti yang berkurangan dan subvarian BA.2 Omicron lebih pantas menular, menurut pakar.

Selepas lebih sebulan penurunan kes di kebanyakan benua, negara seperti Britain, Perancis, Jerman dan Itali menyaksikan kebangkitan semula jangkitan dengan pantas sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Di Perancis, kes meningkat lebih satu pertiga dalam seminggu sejak kerajaan menamatkan kebanyakan sekatan manakala di Jerman, walaupun terdapat rekod harian baharu hampir 300,000 jangkitan, kerajaan membenarkan sekatan coronavirus ditamatkan pada hujung minggu ini.

Di Itali, kerajaan mengumumkan akan menghapuskan hampir semua sekatan menjelang 1 Mei ini walaupun kes semakin meningkat, sementara di Britain, kerajaan menghapuskan sekatan perjalanan antarabangsa bermula Jumaat ini.

Sebaliknya, Austria mengenakan semula peraturan mewajibkan pemakaian pelitup muka FFP2, hanya beberapa minggu selepas tindakan itu ditarik balik.

Walaupun sesetengah pihak menyalahkan kerajaan kerana melonggarkan sekatan terlalu cepat, ahli epidemiologi turut menyatakan sub BA.2 varian Omicron yang kini dominan di banyak negara turut menjadi punca peningkatan kes. - AFP

Berita Harian X