Selasa, 22 March 2022 | 11:25am
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

WHO gesa tambah dana banteras penyakit tuberkulosis

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) meminta peruntukan bagi menentang penyakit tuberkulosis (TB) diutamakan kembali, selepas seluruh dunia lebih menumpukan usaha membasmi COVID-19.

Menjelang Hari Tuberkulosis Sedunia pada Khamis ini, WHO menyatakan perbelanjaan global untuk diagnostik, rawatan dan pencegahan TB pada 2020 adalah kurang separuh daripada sasaran AS$13 bilion (RM55 bilion) setiap tahun menjelang 2022.

"TB kekal sebagai satu pembunuh berjangkit paling maut di dunia dan setiap hari lebih 4,100 orang maut dan hampir 30,000 orang jatuh sakit dengan penyakit yang boleh dicegah dan diubati ini," menurut WHO.

TB adalah penyakit berjangkit pembunuh kedua teratas selepas COVID-19, tersebar melalui udara oleh bakteria hingga menjejaskan paru-paru.

Pengarah Program TB global WHO, Tereza Kasaeva, berkata pandemik coronavirus mengganggu akses kepada perkhidmatan TB.

"Kematian TB meningkat pada 2020 buat pertama kali dalam tempoh lebih sedekad dan keadaan terus kelihatan suram," katanya.

Pada tahun 2020, dianggarkan 63 peratus kanak-kanak bawah 15 tahun dengan TB dilaporkan tidak dapat mengakses perkhidmatan diagnosis dan rawatan TB.

Hampir dua pertiga daripada kanak-kanak yang layak di bawah lima tahun tidak menerima rawatan pencegahan TB, manakala lebih 1.1 juta kanak-kanak bawah 15 tahun jatuh sakit dengan TB dan 226,000 kanak-kanak serta remaja meninggal dunia.

Berita Harian X