Khamis, 10 March 2022 | 2:00pm
Antara pusat pemeriksaan COVID-19 mudah alih di London, Britain yang akan ditamatkan khidmatnya walaupun pakar memberi amaran ancaman coronavirus masih lagi tinggi. - Foto EPA
Antara pusat pemeriksaan COVID-19 mudah alih di London, Britain yang akan ditamatkan khidmatnya walaupun pakar memberi amaran ancaman coronavirus masih lagi tinggi. - Foto EPA

Kes COVID-19 golongan berusia lebih 55 tahun meningkat di England

LONDON: Kes COVID-19 meningkat dalam kalangan mereka yang berusia lebih 55 tahun di England, berdasarkan hasil satu kajian hari ini.

Pertambahan kontak sosial, pengurangan perlindungan dos penggalak dan sub varian Omicron yang lebih pantas menular mungkin mendorong peningkatan kemasukan ke hospital.

Perdana Menteri, Boris Johnson, pada bulan lalu menarik balik sekatan coronavirus terakhir di England dan memansuhkan keperluan undang-undang untuk mengasingkan diri selepas diuji positif virus itu.

Johnson mengambil langkah itu selepas penularan Omicron memuncak pada awal tahun ini tanpa menyebabkan gelombang kemasukan ke hospital dan kematian yang membebankan perkhidmatan kesihatan.

Beliau mengaitkan kejayaan itu dengan program pemberian dos penggalak dan tahap keterukan gejala Omicron yang lebih rendah.

Kajian Imperial College London (Imperial), REACT, yang dijalankan dari 8 Februari hingga 1 Mac, mendapati prevalens COVID-19 adalah 2.88 peratus, berbanding 4.41 peratus pada Januari.

Bagaimanapun, ketika prevalens jatuh pada usia bawah 17 tahun dan 18 hingga 54 tahun pada Februari, ia dianggarkan meningkat sepanjang bulan bagi mereka yang berusia 55 tahun ke atas.

Menurut ahli epidemiologi Imperial, Paul Elliott, Britain menyaksikan peningkatan kes kemasukan ke hospital bagi pesakit COVID-19 sejak minggu terakhir Februari, bertentangan dengan trend semakin menurun sejak awal tahun.

"Saya fikir ini perkembangan yang dijangkakan kerana pergaulan masyarakat bertambah dan kadar jangkitan lebih tinggi, sekali gus menyebabkan kemasukan ke hospital bertambah," katanya kepada wartawan.

Britain mengumumkan, pada musim bunga ini dos penggalak akan ditawarkan kepada golongan berusia lebih 75 tahun dan beberapa kumpulan berisiko lain.

Ia sebagai langkah berjaga-jaga, sekiranya imuniti yang berkurangan daripada penggalak awal merendahkan perlindungan terhadap penyakit yang teruk.

Kajian Imperial juga mendapati, sub varian Omicron BA.2 mengambil alih daripada BA yang dominan sebelum ini.

"BA.2 nampaknya lebih mudah menular... ia mungkin memanjangkan gelombang Omicron pandemik ini," kata Elliott.

Pakar epidemiologi menekankan kepentingan tinjauan prevalens seperti kajian REACT untuk memantau virus berikutan rancangan kerajaan untuk menghentikan ujian besar-besaran percuma secara berperingkat. - AGENSI

Berita Harian X