Isnin, 7 March 2022 | 5:18pm
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto REUTERS
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto REUTERS

Filipina naikkan had umur minimum persetujuan seks kepada 16 tahun

MANILA: Filipina meluluskan undang-undang menaikkan had umur minimum persetujuan seks dari 12 kepada 16 tahun, dalam usaha melindungi golongan bawah umur daripada jenayah rogol dan serangan seksual.

Undang-undang itu ditandatangani oleh Presiden, Rodrigo Duterte.

Berdasarkan undang-undang itu, mana-mana individu dewasa tanpa mengira jantina melakukan hubungan seksual dengan sesiapa di bawah umur 16 tahun, akan didakwa kerana merogol kecuali perbezaan umur adalah antara tiga tahun atau kurang dan hubungan dilakukan atas dasar suka sama suka serta bukan bertujuan eksploitasi.

Pengecualian itu bagaimanapun tidak terpakai jika seorang daripada mereka berusia di bawah 13 tahun.

"Kami menyambut baik perkembangan undang-undang ini dan berharap ia dapat melindungi gadis daripada menjadi mangsa rogol dan jenayah seksual," katanya jurucakap National Union of Peoples' Lawyers, Josalee Deinla.

Sementara itu, penaja utama undang-undang itu, Lawrence Fortun, menyifatkannya sebagai satu langkah ke hadapan.

"Saya amat gembira kerana usaha kami selama ini bagi mendesak perlindungan yang lebih kuat daripada jenayah rogol dan sebarang bentuk serangan seksual, membuahkan hasil," katanya.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Filipina antara negara yang memiliki had umur minimum persetujuan seksual paling rendah, di belakang Nigeria.

Malah, kajian bersama oleh UNICEF dan badan bukan kerajaan (NGO), Center for Women's Resources mendapati tujuh daripada 10 mangsa rogol di Filipina adalah kanak-kanak.

Satu daripada lima responden berusia antara 13 dan 17 tahun melaporkan berdepan keganasan seksual manakala satu daripada 25 mengalami hubungan seksual secara paksa ketika zaman kanak-kanak. - REUTERS

Berita Harian X