Khamis, 3 March 2022 | 4:06pm
Polis Russia menahan seorang penunjuk perasaan semasa protes di Saint Petersburg. - Foto AFP
Polis Russia menahan seorang penunjuk perasaan semasa protes di Saint Petersburg. - Foto AFP

Puluhan ditahan dalam perhimpunan antiperang di Russia

MOSCOW: Berpuluh-puluh penunjuk perasaan antiperang ditahan di Moscow dan Saint Petersburg semalam selepas pengkritik Kremlin yang dipenjarakan, Alexei Navalny, menggesa rakyat Russia membantah pencerobohan Presiden Vladimir Putin ke atas Ukraine.

Polis di kampung halaman Putin di Saint Petersburg bertindak ganas menyuraikan penunjuk perasaan dan menahan sekitar 100 orang, kata seorang wartawan AFP di tempat kejadian.

Di Moscow, pasukan penguatkuasaan undang-undang menutup Dataran Merah berhampiran Kremlin dan menahan sekurang-kurangnya tujuh orang yang berkumpul manakala pembesar suara memberi amaran kepada orang ramai daripada berkumpul.

Tunjuk perasaan semalam berlaku beberapa jam selepas Navalny menggesa perhimpunan harian diadakan menentang serangan tentera.

Menurutnya, Russia tidak seharusnya menjadi 'negara pengecut yang ketakutan' dan menggelar Putin 'tsar kecil yang gila'.

"Saya rasa begitu sedih sekali melihat apa yang berlaku dan tidak dapat berbuat apa-apa," kata seorang lelaki berusia 50-an tahun kepada AFP, sebelum ditahan bersama anaknya, 17 tahun.

"Saya tidak boleh tinggal di rumah. Peperangan ini perlu dihentikan," kata pelajar Anton Kislov, 21, kepada AFP di Saint Petersburg.

Kumpulan pemantau bebas OVD-Info berkata, lebih 7,000 orang keseluruhannya ditahan dalam tunjuk perasaan di merata Russia menentang pencerobohan Moscow ke atas Ukraine yang bermula Khamis lalu.

Navalny, 45, mengetuai bantahan terbesar di Russia terhadap Putin dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau menjadi sasaran dalam satu serangan keracunan yang didakwa didalangi Kremlin pada 2020.

Navalny kini menjalani hukuman penjara atas satu tuduhan penipuan lama di luar Moscow. - AFP

Berita Harian X