Rabu, 2 March 2022 | 7:37am
Runtuhan sekolah yang musnah berhampiran Kharkiv akibat serangan udara Russia. - Foto AFP
Runtuhan sekolah yang musnah berhampiran Kharkiv akibat serangan udara Russia. - Foto AFP

Ukraine dakwa serangan terbaharu Russia bunuh orang awam

KYIV: Serangan udara Russia mengenai blok penempatan di Kharkiv dan menara televisyen utama di Kyiv, dakwa Ukraine semalam ketika Moscow dipercayai meningkatkan serangan meskipun negara itu diberi amaran ia bakal mencetuskan krisis kemanusiaan.

Lapan orang dilaporkan terbunuh dalam serangan di Kharkiv, bandar kedua terbesar Ukraine, pada hari keenam pencerobohan Russia terhadap negara jirannya yang dikatakan pro-Barat.

Pegawai Kharkiv memaklumkan, 10 orang terbunuh dalam serangan Russia terhadap bangunan kerajaan tempatan dan 10 lagi ditemui masih hidup di bawah runtuhan.

Pegawai Ukraine berkata, serangan menara televisyen Kyiv membunuh lima orang, menyebabkan siaran di beberapa negeri terjejas tetapi struktur itu tidak rosak.

Serangan terhadap kemudahan itu berlaku selepas Russia memberi amaran kepada penduduk Kyiv yang tinggal berhampiran infrastruktur keselamatan supaya meninggalkan kediaman masing-masing.

"Ini adalah corak keganasan Russia," kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky yang menuduh Moscow melakukan jenayah perang.

Bagaimanapun, Russia menafikan pihaknya menyasarkan infrastruktur orang awam.

Susulan itu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sudahpun membuka siasatan jenayah perang ke atas Russia sejak Moscow memulakan pencerobohan pada Khamis lalu.

Ukraine mendakwa lebih 350 orang awam termasuk 14 kanak-kanak terbunuh dalam konflik itu setakat ini.

Rundingan awal antara Russia dan Ukraine Isnin lalu juga tidak menunjukkan bibit kejayaan.

Tentera Russia juga mara jauh menceroboh negara jiranya.

Di selatan Ukraine, bandar Mariupol dekat Laut Azov terputus bekalan elektrik selepas kawasan itu dibom, manakala di Kherson dekat Laut Hitam dilaporkan Russia mendirikan pusat pemeriksaan mengelilingi bandar itu.

Menurut Kementerian Pertahanan Russia, tenteranya ada kaitan dengan tentera pemberontak pro-Moscow dari timur Ukraine dekat wilayah di sepanjang pantai Laut Azov.

Tentera Ukraine pula memaklumkan, walaupun 'kumpulan sabotaj' melakukan pencerobohan ke dalam kawasan bandar, tetapi tentera Russia masih belum dapat menawan penempatan utama. - AFP

Berita Harian X