Sabtu, 19 Februari 2022 | 9:44am
Seorang wanita bersedia menaiki bas yang disediakan kumpulan pemisah pro-Moscow di Ukraine untuk dipindahkan ke Russia. - Foto REUTERS
Seorang wanita bersedia menaiki bas yang disediakan kumpulan pemisah pro-Moscow di Ukraine untuk dipindahkan ke Russia. - Foto REUTERS

Pemberontak Ukraine pindah orang awam ke Russia

MOSCOW: Puak pemisah pro-Moscow di timur Ukraine mula memindahkan orang awam ke Russia pada Jumaat ketika kebimbangan tercetusnya konflik berskala besar terus meningkat.

"Mulai hari ini, pelepasan berpusat besar-besaran penduduk ke Persekutuan Russia dilaksanakan.

"Wanita, kanak-kanak dan orang tua akan dipindahkan terlebih dahulu," kata Ketua Republik Rakyat Donetsk (DPR), Denis Pushilin.

Dalam satu mesej video menerusi aplikasi Telegram, beliau menuduh Kyiv merancang serangan yang disasarkan ke wilayah pemisah pro-Moscow.

"Dalam masa terdekat, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky akan memberi arahan untuk tenteranya melakukan serangan," katanya.

Pemimpin kumpulan pemisah di Lugansk, dekat timur Ukraine, Leonid Pasechnik turut menggesa penduduk untuk berpindah 'bagi mengelakkan kematian dalam kalangan orang awam'.

"Saya menyeru penduduk republik... untuk berpindah ke Persekutuan Russia secepat mungkin," kata Pasechnik dalam satu kenyataan.

Beliau turut berkata, mereka yang telah menerima arahan untuk mobilisasi atau yang bekerja dalam sektor utama diminta terus berada di wilayah itu.

Pushilin berkata, pihak berkuasa Russia dan wilayah jirannya, Rostov, yang terletak di selatan Russia bersedia menerima rakyat Ukraine dan telah menyediakan tempat perlindungan.

Dalam pada itu, Presiden Russia, Vladimir Putin mengarahkan kerajaannya menyerahkan sejumlah 10,000 ruble (RM540) kepada mangsa yang dipindahkan.

Jurucakapnya, Dmitry Peskov memberitahu media kerajaan, pihak berkuasa tempatan di wilayah Rostov akan mengatur perumahan, makanan dan bantuan perubatan untuk mangsa yang dipindahkan.

Barat berkata, Russia boleh menyerang Ukraine pada bila-bila masa, walaupun Moscow berkata ia telah menarik balik beberapa pasukannya dari sempadan Ukraine. - AFP

Berita Harian X