Jumaat, 18 Februari 2022 | 12:21pm
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Ubat kanser prostat Nubeqa Bayer tambah peluang pesakit

FRANKFURT: Syarikat farmaseutikal Bayer berkata campuran terapi termasuk ubat Nubeqa keluarannya terbukti mampu memanjangkan dengan ketara hayat pesakit kanser prostat metastatik.

Menurut syarikat Jerman itu dalam satu kenyataan berhubung keputusan percubaan ubat berkenaan, dapatan kajian klinikal itu menyokong potensi ubat berkenaan untuk memasuki pasaran.

"Nubeqa, apabila digabungkan dengan terapi standard, mengurangkan risiko kematian semasa tempoh percubaan sebanyak 32.5 peratus berbanding terapi standard," katanya.

Nubeqa, juga dikenali sebagai darolutamide dan dibangunkan bersama dengan pembuat ubat Finland Orion, sudah diluluskan bagi rawatan kanser prostat bukan metastatik yang tidak boleh dirawat dengan terapi hormon standard.

Sementara itu, keputusan terbaru menunjukkan peluang pasaran yang lebih besar jika pengawal meluluskan permohonan penggunaan yang lebih meluas.

Bayer, yang membayar berbilion dolar kepada Amerika Syarikat (AS) dalam penyelesaian kes racun rumpai Roundup didakwa menyebabkan kanser, perlu mengukuhkan saluran pembangunan ubatnya.

Ini kerana dua produk farmaseutikal keluarannya yang terlaris, pil pencegahan strok, Xarelto dan ubat mata, Eylea, menghadapi kemerosotan jualan sejak beberapa tahun lalu.

Nubeqa ialah salah satu daripada tiga produk farmaseutikal Bayer yang syarikat itu jangkakan mampu menjana lebih AS$1 bilion (RM4.18 bilion) jualan tahunan, yang dikenali dalam industri sebagai 'blockbuster'.

Di samping Nubeqa, pendapatan utama Bayer adalah menerusi jualan ubat rawatan penyakit buah pinggang finerenone dan elinzanetant bagi melegakan simptom menopaus.

Kejayaan keseluruhan percubaan itu diumumkan pada Disember lalu dan keputusan terperinci diterbitkan dalam The New England Journal of Medicine semalam. - REUTERS

Berita Harian X