Rabu, 16 Februari 2022 | 8:16am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Ukraine alami serangan siber

KYIV: Ukraine semalam mendakwa laman sesawang Kementerian Pertahanan, pasukan tentera dan dua bank utama di negara ini, mengalami serangan siber yang didakwa berkemungkinan dilakukan pihak Russia.

Perkara berkenaan diumumkan badan pemantau komunikasi Ukraine, ketika negara bekas Soviet ini bimbang akan kemungkinan serangan dilancarkan oleh tentera Russia yang sedang menjalani latihan di kawasan sempadan.

Laman sesawang yang dilaporkan terkesan meliputi dua institusi kewangan terbesar di Ukraine, Oschadbank dan Privat.

Perkhidmatan kedua-duanya kembali pulih, lewat semalam, namun laman sesawang pihak tentera masih tidak dapat diakses beberapa jam selepas laporan awal serangan berkenaan dikeluarkan.

Laman sesawang Kementerian Pertahanan memaparkan mesej ralat tertera 'penyelenggaraan teknikal sedang dijalankan.'

Laman sesawang pasukan tentera pula memaparkan mesej tertera ia tidak boleh dicapai.

"Tidak boleh dikecualikan (kemungkinan) bahawa penceroboh menggunakan helah kotor," dakwa badan pemantau itu yang dilihat sebagai merujuk kepada Russia. - AFP

Berita Harian X