Jumaat, 11 Februari 2022 | 10:00am
Gambar hiasan menunjukkan pemain bola sepak wanita berhijab. - Foto REUTERS
Gambar hiasan menunjukkan pemain bola sepak wanita berhijab. - Foto REUTERS

Larangan pemain bola sepak Islam bertudung di Perancis dikecam

PARIS: Menteri Hal Ehwal Kesaksamaan Jantina Perancis, Elisabeth Moreno, semalam menyatakan sokongan kepada pemain bola sepak wanita Islam yang berusaha membatalkan larangan pemakaian tudung ketika beraksi.

Peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Perancis ketika ini menghalang pemain yang menyertai perlawanan daripada memakai simbol agama yang 'ketara' seperti tudung bagi orang Islam atau 'kippa' bagi orang Yahudi.

Gerakan wanita dikenali sebagai 'les Hijabeuses', yang mengambil tindakan undang-undang terhadap peraturan itu pada November tahun lalu mendakwa berlaku diskriminasi dan pelanggaran hak untuk mengamalkan agama mereka.

"Undang-undang mengatakan bahawa wanita muda ini boleh bertudung dan bermain bola sepak. Di padang bola hari ini, tudung tidak dilarang. Saya mahu undang-undang ini dihormati," kata Elisabeth Moreno kepada stesen televisyen LCI.

Dalam kenyataannya kepada AFP, beliau berkata, wanita sepatutnya dibenarkan mengenakan pakaian sebagaimana yang mereka inginkan.

Dua bulan sebelum pilihan raya presiden Perancis, isu itu menjadi bahan perbincangan utama di Perancis, yang mengekalkan bentuk sekularisme ketat bertujuan memisahkan antara negara dan agama.

Senat Perancis, yang majoritinya anggota parti sayap kanan Republikan, mencadangkan undang-undang melarang pemakaian simbol agama secara jelas dalam semua pertandingan pada bulan lalu.

Namun, ia ditolak Dewan Rakyat pada Rabu lalu, yang mana parti pimpinan Emmanuel Macron, Republic on the Move (REM), dan sekutunya memegang majoriti.

Undang-undang Perancis mengamalkan sekularisme menjamin kebebasan beragama kepada semua rakyat dan tidak mengandungi peruntukan mengenai larangan pemakaian simbol agama di tempat awam, kecuali penutup muka penuh yang diharamkan pada 2010.

Kakitangan di institusi negara itu turut dilarang mempamerkan agama mereka, begitu juga dengan pelajar sekolah.

Ramai ahli politik sayap kanan di Perancis berhasrat meluaskan sekatan ke atas pemakaian tudung, kerana melihatnya sebagai kenyataan politik yang menyokong Islamisme dan menghina nilai diamalkan di Perancis.

Demonstrasi yang dirancang oleh gerakan 'les Hijabeuses' di hadapan Parlimen Perancis pada Rabu diharamkan oleh pihak berkuasa bandar itu atas alasan keselamatan. - AFP

Berita Harian X