Rabu, 9 Februari 2022 | 7:14am

Setengah juta maut akibat Omicron - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggap lebih setengah juta kes kematian akibat COVID-19 varian Omicron sejak dikesan, sebagai angka yang 'teramat dahsyat'.

Pengurus Insiden WHO, Abdi Mahamud, berkata 130 juta kes dan 500,000 kematian direkodkan di seluruh dunia sejak Omicron diisytiharkan sebagai varian membimbangkan pada November lalu.

Sejak itu, varian berkenaan dengan pantas 'mengambilalih' kedudukan Delta sebagai varian dominan COVID-19 kerana ia lebih menular meskipun hanya mengakibatkan penyakit kurang teruk.

"Dalam era keberkesanan vaksin, separuh juta orang meninggal dunia, ia adalah sesuatu yang menyedihkan.

"Ketika setiap orang mengatakan Omicron lebih ringan, mereka terlepas perkara apabila setengah juta orang mati sejak ia dikesan.

"Ia teramat dahsyat," kata Mahamud ketika berinteraksi menerusi saluran sosial media WHO.

Ketua Teknikal COVID-19 WHO, Maria Van Kerkhove, pula berkata bilangan kes Omicron yang tinggi adalah 'mengejutkan', manakala jumlah sebenar kes jangkitan dan kematian kemungkinan jauh lebih tinggi daripada diketahui.

"Ia menjadikan kes memuncak sebelum ini kelihatan hampir rata.

"Kita masih di tengah-tengah pandemik. Kita harap kita hampir mengakhirinya. Banyak negara masih belum melepasi kemuncak Omicron lagi," katanya.

Menurut Van Kerkhove, beliau bimbang dengan angka kematian yang semakin meningkat beberapa minggu lalu berturut-turut.

"Virus Omicron ini terus menjadi berbahaya," katanya.

WHO mengesan empat sub-keturunan Omicron. Walaupun substrain BA.1 adalah dominan, BA.2 lebih mudah menular dan diramalkan menyumbang kepada peningkatan bahagian kes Omicron.

Bagaimanapun, Van Kerkhove, berkata tidak ada indikator setakat ini yang mencadangkan kesan BA.2 mengakibatkan penyakit COVID-19 lebih teruk berbanding BA.1, tetapi menegaskan ia masih di peringkat awal dalam pengumpulan bukti.

Sejak COVID-19 muncul di China pada Disember 2019, ia membunuh hampir 5.75 juta orang, menurut data dikumpul AFP dari sumber rasmi setakat semalam. - AFP

Berita Harian X