Isnin, 7 Februari 2022 | 8:09am
Polis mengawal tunjuk perasaan pemandu trak Kanada membantah syarat mewajibkan vaksin COVID-19 di Ontario. - Foto REUTERS
Polis mengawal tunjuk perasaan pemandu trak Kanada membantah syarat mewajibkan vaksin COVID-19 di Ontario. - Foto REUTERS

Ottawa isytihar darurat akibat protes pemandu trak

OTTAWA: Darurat diisytiharkan di bandar ini semalam dalam usaha menangani protes selama 10 hari oleh pemandu trak membantah syarat mewajibkan mereka mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Datuk Bandar Ottawa, Jim Watson, berkata demonstrasi kali ini berlaku pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan menyebabkan penutupan ibu negara Kanada itu.

"(Ini) memberi gambaran betapa bahaya dan seriusnya ancaman terhadap keselamatan penduduk berpunca daripada demonstrasi yang berterusan.

"Kita memerlukan sokongan daripada bidang kuasa lain dan pelbagai peringkat kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Watson, menyuarakan kekesalan kerana jumlah penunjuk perasaan melebihi polis dan mereka menguasai keadaan tetapi tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai langkah yang mungkin beliau laksanakan.

'Freedom Convoy' atau Konvoi Kebebasan bermula sebagai gerakan menentang keperluan vaksin di Kanada bagi pemandu lori rentas sempadan.

Namun, ia kemudian bertukar menjadi perhimpunan menentang langkah kesihatan awam dan kerajaan Perdana Menteri, Justin Trudeau.

Ketika penduduk berasa marah kerana kekurangan maklum balas rasmi, polis Ottawa memindahkan semula beberapa kumpulan penunjuk perasaan dan memasang penghadang baru semalam.

Polis juga berkata mereka sedang 'mengumpul pendaftaran kewangan, digital, pendaftaran kenderaan... serta bukti lain yang akan digunakan dalam pendakwaan jenayah'.

Mereka juga mengumumkan akan menyekat sesiapa yang cuba membawa masuk tong minyak bagi kegunaan ratusan trak besar yang menghalang kebanyakan jalan di pusat bandar sehingga melumpuhkan pusat bandar Ottawa sejak sembilan hari lalu.

Tindakan beberapa peserta mengibarkan bendera Konfederasi atau Nazi dan dakwaan kumpulan tertentu mahu membubarkan kerajaan Kanada turut memburukkan keadaan.

Penganjur konvoi turut memaklumkan, mereka tidak akan bersurai sehingga arahan mewajibkan vaksin dibatalkan.

Menteri Keselamatan Awam Kanada, Marco Mendicino, semalam berkata kerajaan tidak akan 'berpatah balik' dalam isu itu.

"Kami meletakkan persoalan dan mandat vaksin dalam undian... pada pilihan raya (2021) dan kami hanya melaksanakan janji yang dibuat dengan sokongan sebahagian besar rakyat Kanada," katanya dalam siaran televisyen CBC.

Polis berkata, sekatan yang tersusun itu sebahagiannya bergantung kepada pembiayaan daripada golongan yang menyokong gerakan nitu di Amerika Syarikat (AS).

GoFundMe bertindak menutup lama derma 'Freedom Convoy', sekali gus menimbulkan kemarahan beberapa penggubal undang-undang Republikan AS, yang berjanji akan menyiasat tindakan laman sesawang itu. - AGENSI

Berita Harian X