Jumaat, 4 Februari 2022 | 9:59am
Pengarah Eropah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Hans Kluge. - Foto AFP
Pengarah Eropah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Hans Kluge. - Foto AFP

Akhir pandemik COVID-19 kelihatan di Eropah - WHO

COPENHAGEN: Selepas dua tahun bergelut dengan COVID-19, Eropah kini sudah mula nampak tanda-tanda pandemik akan berakhir, kata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Tidak lama lagi, Eropah akan memasuki tempoh 'ketenangan panjang' kerana kadar vaksinasi tinggi, varian Omicron yang lebih ringan dan pengakhiran musim sejuk, kata agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Pengarah Eropah WHO, Hans Kluge, berkata ia adalah 'gencatan senjata yang boleh membawa kepada kedamaian yang berkekalan'.

"Konteks ini memberikan kita kemungkinan untuk menikmati tempoh ketenangan yang panjang.

"Vaksinasi yang meluas dan perubahan musim meletakkan Eropah dalam kedudukan lebih baik untuk menangkis sebarang kebangkitan semula jangkitan, termasuk varian yang lebih ganas daripada Omicron.

"Adalah mungkin untuk kita bertindak balas terhadap varian baharu yang pasti akan muncul, tanpa melaksanakan semula langkah kawalan coronavirus yang kita perlukan sebelum ini," katanya.

Namun, tegas beliau, pihaknya tidak mengatakan bahawa pandemik kini sudah berakhir tetapi ada peluang lebih baik untuk mengawal jangkitan.

Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa keadaan optimis itu hanya akan berlaku jika negara meneruskan kempen vaksinasi mereka dan memperhebatkan pengawasan untuk mengesan varian baharu.

Kluge turut menggesa pihak berkuasa kesihatan melindungi kumpulan berisiko dan terus mempromosikan tanggungjawab individu seperti penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka.

Dengan varian Omicron yang pantas menular, jangkitan dikesan melonjak di seluruh rantau WHO Eropah, yang terdiri daripada 53 negara, termasuk di beberapa di Asia tengah.

Kata WHO, kira-kira 12 juta kes baharu didaftarkan minggu lalu di rantau itu, yang tertinggi sejak permulaan wabak dikesan.

Bagaimanapun tahap kemasukan ke hospital lebih rendah berbanding gelombang sebelumnya dan beberapa negara Eropah seperti Perancis, Ireland dan United Kingdom.

Sehubungan itu, negara berkenaan turut mengumumkan penarikan atau pengurangan besar sekatan, walaupun terdapat rekod atau kes yang sangat tinggi.

Denmark semalam menjadi menjadi negara Kesatuan Eropah (EU) pertama yang menarik balik sekatan COVID-19 domestiknya, diikuti Norway. - AFP

Berita Harian X