Isnin, 24 Januari 2022 | 12:27pm
Eropah dijangka tamat pandemik COVID-19 - Kluge. FOTO AFP
Eropah dijangka tamat pandemik COVID-19 - Kluge. FOTO AFP

Eropah 'intai' tamat pandemik - WHO

COPENHAGEN: Varian Omicron membawa pandemik COVID-19 ke fasa baharu dan dilihat mampu membawa Eropah menamatkan penularannya, kata Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah, Hans Kluge.

"Adalah munasabah rantau ini sedang bergerak ke arah penamat pandemik ini. Apabila lonjakan semasa Omicron melanda seluruh Eropah pada masa ini reda, akan terbina imuniti global selama beberapa minggu dan bulan.

"Ia sama ada kita berterima kasih kepada vaksin atau kerana orang ramai kini mempunyai imuniti akibat jangkitan dan juga penurunan bermusim," katanya, semalam.

Katanya, Omicron boleh menjangkiti 60 peratus penduduk Eropah menjelang Mac dan menjangkakan akan ada 'tempoh bertenang' sebelum COVID-19 mungkin kembali menjelang akhir tahun ini.

"Akan tetapi tidak semestinya wabak itu muncul semula," katanya sambil menegaskan masih terlalu awal untuk menganggap wabak itu berada dalam fasa endemik.

Semalam, saintis terkemuka AS, Anthony Fauci, turut menyatakan keyakinan sama apabila mendapati penurunan kes COVID-19 menurun 'agak mendadak' di beberapa bahagian di Amerika Syarikat (AS) dan berpandangan 'semuanya kelihatan baik'.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran supaya tidak terlalu meletakkan keyakinan yang tinggi.

Jelasnya, jika penurunan bilangan kes baharu di kawasan seperti timur laut AS berterusan, beliau percaya perubahan akan mula dilihat di seluruh negara.

Pejabat WHO Afrika turut berkata, pada minggu lalu, kes COVID-19 turun secara ketara di rantau itu dan kematian berkurang buat kali pertama sejak gelombang keempat virus yang didominasi Omicron itu mencapai kemuncaknya.

Kajian menunjukkan, penularan varian Omicron lebih pantas berbanding Delta tetapi secara amnya membawa kepada jangkitan yang kurang teruk dalam kalangan individu yang sudah divaksinasi. - AFP

Berita Harian X