Khamis, 20 Januari 2022 | 7:52am
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom, pada sidang media mingguannya di Geneva. - Foto AFP
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom, pada sidang media mingguannya di Geneva. - Foto AFP

Pandemik COVID-19 belum berakhir - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pandemik COVID-19 masih belum berakhir kerana dunia belum bebas daripada varian Omicron yang menular pantas.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, menegaskan pandemik coronavirus itu sama sekali masih jauh daripada berakhir.

"Omicron mungkin kurang serius tetapi tanggapan bahawa ia adalah penyakit ringan amat mengelirukan.

"Jangan buat silap, Omicron terbukti menyebabkan kenaikan kemasukan ke hospital dan kematian, malah kes yang kurang teruk membanjiri kemudahan kesihatan.

"Terdapat petunjuk bahawa lonjakan kes COVID-19 yang didorong Omicron mungkin mencapai kemuncak di beberapa negara," katanya pada satu sidang media.

Katanya, perkembangan itu memberi harapan bahawa gelombang terbaru yang terburuk itu dapat diselesaikan, tetapi belum ada negara yang keluar dari masalah berkenaan.

Menurut Dr Tedros, terdapat keperluan mendesak untuk menghapuskan tekanan yang terus meningkat ke atas sistem kesihatan, terutama di negara yang masih mempunyai kadar vaksinasi rendah.

"Kita masih boleh mengurangkan kesan gelombang semasa dengan ketara dengan berkongsi dan menggunakan alat kesihatan secara berkesan serta melaksanakan langkah kesihatan awam dan sosial yang kami tahu berkesan," katanya.

Ketua agensi kesihatan PBB itu memberi amaran supaya jangan memandang remeh bahaya varian Omicron, yang kini menular begitu pantas di seluruh dunia sejak ia mula dikesan di selatan Afrika pada November lalu.

COVID-19 varian Omicron lebih mudah berjangkit berbanding varian Delta sebelumnya tetapi dikatakan tidak menyebabkan penyakit serius.

Perkara itu mencetuskan perdebatan sama ada virus COVID-19 itu berada di ambang beralih daripada fasa pandemik kepada menjadi penyakit endemik yang boleh dilalui oleh manusia, dengan implikasi bahawa bahaya akan berlalu.

Namun, kata Pengarah Kecemasan WHO, Dr Michael Ryan, pada sidang media yang sama, agensi itu memberi amaran bahawa sebilangan besar orang yang dijangkiti bermakna ramai orang masih jatuh sakit kritikal dan mati.

"Peningkatan besar dalam kes, tanpa mengira tahap penyakit seseorang, membawa kepada peningkatan yang tidak dapat mengelakkan kemasukan ke hospital dan kematian," katanya.

Ketua Teknikal WHO mengenai COVID-19, Dr Maria Van Kerkhove, turut bersetuju sambil menunjukkan bahawa kira-kira 45,000 kematian akibat penyakit itu masih didaftarkan di seluruh dunia setiap minggu. - AFP

Berita Harian X