PARIS: Ribuan penunjuk perasaan di seluruh bandar Perancis semalam membantah sekatan yang lebih ketat dikenakan terhadap individu enggan menerima suntikan vaksinasi COVID-19, ketika perselisihan Parlimen berterusan berhubung draf undang-undang.
Bagaimanapun, mengikut anggaran rasmi, peratusan penunjuk perasaan yang hadir adalah jauh lebih rendah berbanding demonstrasi hujung minggu sebelumnya, dengan Kementerian Dalam Negeri menganggarkan jumlahnya separuh daripada minggu lalu.
Di ibu kota Paris, perhimpunan tunggal terbesar bermula berhampiran Menara Eiffel, yang dipimpin oleh calon presiden anti-Kesatuan Eropah berhaluan kanan, Florian Philippot.
Mereka turut berarak di beberapa bandar utama termasuk Bordeaux, Toulouse dan Lille.
Orang ramai melaungkan 'tidak kepada vaksin' atau 'kebebasan untuk Djokovic', yang merujuk kes pemain tenis lelaki nombor satu, Novak Djokovic, yang menggesa kerajaan Australia membenarkan pemain tidak divaksinasi bersaing dalam Grand Slam Terbuka Australia minggu depan.
Di Paris, penunjuk perasaan membawa bendera Perancis dan wilayahnya, dengan sepanduk dan mesej seperti 'bukan virus yang mereka mahu kawal, tetapi anda'.
Menurut angka direkodkan polis dan dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri semalam, peratusan penunjuk perasaan yang tampil adalah 54,000 orang di seluruh Perancis, berbanding 105,200 pada minggu lalu.
Mereka berharap dapat mengekalkan tekanan selepas Presiden Emmanuel Macron mengumumkan awal bulan ini, bahawa beliau akan mengambil tindakan lebih ketat terhadap mereka yang tidak divaksinasi sehingga menerima suntikan pelalian itu.
Untuk rekod, pas berkenaan diperlukan untuk akses masuk termasuk di bar, restoran, pawagam, bangunan awam lain, dan untuk perjalanan di rangkaian kereta api berkelajuan tinggi Perancis. - AFP