Jumaat, 14 Januari 2022 | 6:18pm
Tangkap layar pada skrin komputer menunjukkan mesej amaran dalam bahasa Ukraine, Russia dan Poland, dalam serangan siber di laman sesawang Kementerian Luar Ukraine. - Foto REUTERS
Tangkap layar pada skrin komputer menunjukkan mesej amaran dalam bahasa Ukraine, Russia dan Poland, dalam serangan siber di laman sesawang Kementerian Luar Ukraine. - Foto REUTERS

Laman sesawang kerajaan Ukraine sasaran serangan siber

KYIV: Ukraine hari ini melaporkan berlaku serangan siber besar-besaran ke atas laman sesawang utama kerajaan, ketika bergelut isu penempatan tentera Russia di sempadannya.

Bagaimanapun, setakat ini tiada kaitan dikesan dengan ketegangan antara Russia dan Barat susulan siri rundingan yang tidak berjaya membabitkan isu Ukraine.

Kementerian Pendidikan, menerusi kenyataan di Facebook, mengesahkan bahawa laman sesawangnya dimatikan kerana 'serangan (siber) global' semalaman.

Selain itu, laman sesawang Kementerian Luar dan Kementerian Kecemasan serta kabinet juga tidak berfungsi.

Setakat ini tiada pihak yang mengakui bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Laman sesawang Kementerian Luar itu memaparkan kenyataan dalam bahasa Ukraine, Russia dan Poland, yang menyatakan serangan itu adalah sebagai tindak balas kepada pendirian pro-Barat Ukraine.

"Orang Ukraine! Semua data peribadi anda... sudah dipadamkan dan mustahil untuk dipulihkan. Semua maklumat mengenai anda sudah diketahui umum, takuti dan harapkan yang paling teruk.

"Demi masa lalu, sekarang dan masa depan anda. Untuk Volyn, OUN, UPA, Galitsia, Polesye dan untuk tanah bersejarah," katanya merujuk kepada pertubuhan ultra-nasionalis dan wilayah Ukraine.

Kementerian Pendidikan pula berkata, pihak berkuasa termasuk perkhidmatan keselamatan SBU dan polis siber, sedang berusaha untuk menangani isu itu.

Difahamkan, serangan itu berlaku ketika ketegangan antara Russia dan Barat memuncak berhubung Ukraine, sebuah negara bekas Soviet yang strategik.

Barat menuduh Russia mengerahkan kereta kebal, artileri dan lebih 170,000 askar di sempadan timur Ukraine yang sedang dilanda perang sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan didakwa NATO sebagai persediaan untuk pencerobohan.

Moscow bagaimanapun berkata, mereka tidak mempunyai rancangan untuk menyerang Ukraine.

Minggu ini Amerika Syarikat (AS) dan sekutu NATO mengadakan perbincangan dengan Russia dalam usaha untuk meredakan ketegangan tetapi ketiga-tiga pusingan rundingan di Geneva, Brussels dan Vienna, terbukti tidak berjaya.

Semalam, Timbalan Menteri Luar, Sergei Ryabkov, berkata Moscow tiada sebab untuk mengadakan pusingan baharu rundingan keselamatan dengan Barat berikutan tiada kemajuan dicapai. - AFP

Berita Harian X