Rabu, 12 Januari 2022 | 7:14pm
Peperangan berpusat di sekitar kawalan untuk Nagorno-Karabakh, kawasan pemisah berpenduduk jarang dan bergunung-ganang di dalam Azerbaijan yang dikawal sejak beberapa dekad oleh pejuang Armenia. - Foto AGENSI
Peperangan berpusat di sekitar kawalan untuk Nagorno-Karabakh, kawasan pemisah berpenduduk jarang dan bergunung-ganang di dalam Azerbaijan yang dikawal sejak beberapa dekad oleh pejuang Armenia. - Foto AGENSI

3 tentera Armenia maut dalam pertempuran sempadan dengan Azerbaijan

YEREVAN: Armenia hari ini melaporkan tiga askarnya terbunuh dalam pertempuran sempadan dengan Azerbaijan, dalam pertempuran paling serius antara musuh bekas Soviet sejak beberapa bulan ini.

Azerbaijan sebelum ini berkata, seorang daripada askarnya maut dalam pertempuran yang berlaku semalam membabitkan sepanjang wilayah sempadan yang dipertikaikan dan tidak menentu, dengan ketegangan masih tinggi berikutan perang antara negara Caucasus pada 2020.

Kementerian Pertahanan Armenia dalam satu kenyataan hari ini berkata, mayat seorang anggota tentera Armenia dijumpai dengan kesan tembakan maut di kawasan sekitar lokasi 'pertempuran sengit' yang tercetus pada hari sebelumnya.

Dua askar cedera dalam pertempuran itu dilaporkan stabil, kata Kementerian Pertahanan itu lagi.

Kedua-dua pihak saling tuduh menuduh pihak lain memulakan 'provokasi' yang mencetuskan tembak menembak mengakibatkan seorang askar Azerbaijan dan tiga tentera Armenia terbunuh.

Armenia berkata, sebelum ini bahawa tenteranya menjadi sasaran artileri dan dron di kawasan sempadan timurnya, namun dakwaan itu dinafikan Azerbaijan.

Korban nyawa itu adalah ancaman serius kepada gencatan senjata yang dilaksanakan dengan bantuan Russia pada November 2020 yang menamatkan peperangan kejam selama enam minggu dengan meragut nyawa 6,000 orang bagi kedua-dua belah pihak.

Peperangan berpusat di sekitar kawalan untuk Nagorno-Karabakh, kawasan pemisah berpenduduk jarang dan bergunung-ganang di dalam Azerbaijan yang dikawal sejak beberapa dekad oleh pejuang Armenia.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata, Armenia menyerahkan kembali kawasan besar yang sudah dikuasai oleh wilayah pemisah selama beberapa dekad, termasuk Kalbajar, di mana Azerbaijan berkata askarnya terbunuh dalam keadaan peperangan yang bertambah buruk, baru-baru ini. - AFP

Berita Harian X