Isnin, 10 Januari 2022 | 2:03pm
Ukraine masih ragu-ragu rundingan Russia-Amerika Syarikat (AS) akan datang mampu membawa satu perubahan ke hadapan. - Foto AGENSI
Ukraine masih ragu-ragu rundingan Russia-Amerika Syarikat (AS) akan datang mampu membawa satu perubahan ke hadapan. - Foto AGENSI

Ukraine tidak yakin rundingan Russia-AS bawa perubahan

UKRAINE: Ketika Kiev terus menempatkan tenteranya di timur untuk berdepan konflik berpanjangan dengan pemisah pro-Kremlin, tentera Ukraine masih ragu-ragu rundingan Russia-Amerika Syarikat (AS) akan datang mampu membawa satu perubahan ke hadapan.

Sejak 2014, tahun di mana Russia menguasai Crimea, tentera Ukraine sudah memerangi pemberontak untuk mengambil alih semula kawalan di dua wilayah yang bersempadan dengan Russia itu.

Namun, baru-baru ini, timbul kebimbangan bahawa Moscow, yang mengumpulkan puluhan ribu tentera di sebelah sempadannya, mungkin melancarkan serangan.

Sambil memakai jaket kalis peluru dan topi keledar tentera, Mykhailo, tentera berusia 29 tahun berjalan melalui parit di bandar Avdiivka, di utara bandar kubu kuat puak pemisah Donetsk.

"Saya ragu-ragu mengenai sebarang perubahan selepas ini," kata Mykhailo, menjelaskan bahawa rundingan sebelum ini gagal menamatkan perang, yang sudah meragut lebih 13,000 nyawa.

Diplomat Russia dan AS bertemu di Geneva untuk berbincang mengenai Ukraine dan isu keselamatan, dengan Presiden Russia, Vladimir Putin meletakkan jaminan NATO tidak akan berkembang ke arah timur.

"Saya fikir perbincangan ini tidak akan meletakkan keadaan lebih buruk. Bagi dasar Putin, itu perkara lain. Ia tidak akan berubah.

"Jaminan untuk tidak menyertai NATO, tidak akan menghalangnya, kerana dia mahu mengembalikan Kesatuan Soviet dalam versi 2.0," jelas Mykhailo sambil memegang senapang di tangannya.

Ekoran ketegangan yang memuncak antara Moscow dan Washington, barat menggesa Russia untuk menarik balik tenteranya.

Kremlin berulang kali menafikan mereka merancang untuk menyerang dan menyatakan pergerakan tenteranya itu, hanya sebahagian daripada penempatan rutin.

Presiden AS, Joe Biden sebelum ini turut memberi amaran kemungkinan akibat yang lebih teruk jika Russia menyerang Ukraine.

Langkah yang sedang dipertimbangkan termasuk menyekat Moscow dari sistem perbankan global dan membatalkan saluran paip kontroversi, Nord Stream 2 Russia.

"Musuh sentiasa melepaskan tembakan provokatif. Pemisah menggunakan mortar dan mesingan," kata Dmytro, tentera berusia 29 tahun.

Mykhailo menyatakan bahawa dalam beberapa bulan kebelakangan ini, peralatan ketenteraan pemisah sudah bergerak pada skala yang lebih besar daripada sebelumnya.

"Kami sudah bersedia. Kami boleh melawan musuh. Mengenali musuh kami, saya 100 peratus pasti bahawa perbincangan itu tidak akan memihak kepada kami.

"Biarpun mereka bersetuju dengan sesuatu, perjanjian dengan Russia tidak pernah menguntungkan," katanya.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, Jumaat lalu menuduh Russia mengaburi dunia dengan membuat tuntutan, sambil menyatakan rundingan akan datang ini memberi tumpuan kepada isu pencerobohan Moscow terhadap Ukraine.

Delegasi pertemuan itu akan diketuai oleh timbalannya, Wendy Sherman dan Timbalan Menteri Luar Russia, Sergei Ryabkov.

Menjelang rundingan Geneva, Russia mengeluarkan draf cadangan yang bertujuan mengekang pengembangan NATO, dengan Moscow turut menuntut NATO tidak boleh menerima ahli baru dan berusaha menghalang AS menubuhkan pangkalan baru di negara bekas Soviet.

Selepas rundingan Geneva, Russia akan bertemu dengan kesemua 30 anggota pakatan tentera yang diketuai AS pada Rabu, pertemuan pertama seumpamanya sejak Julai 2019. - AFP

Berita Harian X